SHAH ALAM - Kekangan cuti selain tambang tiket penerbangan yang mahal menyebabkan anak kelahiran Malaysia, Khalil Abdul Razak yang kini menuntut di United Kingdom (UK) tidak dapat pulang berhari raya di kampung sejak empat tahun lalu.
Khalil, 39, kini menetap di Manchester bersama isteri, Nor Atiqah Ibrahim, 38, dan tiga orang anaknya sejak tahun 2019 kerana melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan bahan di University of Manchester.
"Sudah tentu kami sekeluarga merindui suasana sambutan hari raya di Malaysia apabila berada jauh dari kampung halaman terutama keenakan juadah seperti lemang dan soto selain kemeriahan Syawal di negara sendiri.
"Memang sedih dan teringin nak balik beraya di kampung halaman, tapi hasrat itu tertangguh juga disebabkan Covid-19 melanda seluruh dunia, jadi menyebabkan saya perlu tinggal di UK pada tempoh lama.
"Namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak bersama-sama tinggal di sini menjadi pendorong semangat untuk saya terus bertahan menyelesaikan pengajian PhD di sini,” katanya kepada Sinar Harian menerusi panggilan telefon.
Menurut Khalil, ketika Covid-19 melanda UK, terdapat larangan daripada kerajaan Britain yang tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpul dan kunjung mengunjung.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan suasana hari raya menjadi bertambah hiba, malah terpaksa bersolat sunat Aidilfitri di dalam rumah serta menikmati juadah secara ala kadar.
Bagaimanapun, Khalil berkata, dia tetap cuba menghidupkan sambutan hari raya dengan cara tersendiri termasuk membuat ucapan melalui aplikasi Zoom bersama keluarga dan rakan-rakan di Malaysia.
"Saya dan anak-anak bersama-sama menghias rumah dengan dekorasi raya selain membuat pelbagai kuih tradisional Malaysia seperti kuih semperit dan makmur.
"Kami juga membuat lemang kukus dengan menggunakan cawan dan dodol yang dikacau dalam kuali kecil,” ujarnya.
INISIATIF KEDUTAAN UBAT KERINDUAN PERANTAU
Di Putrajaya, bagi memeriahkan perayaan hari raya dalam kalangan kakitangan dan rakyat Malaysia di perantauan, beberapa pejabat kedutaan dan perwakilan Malaysia di luar negara mengambil inisiatif menganjurkan sambutan Aidilfitri.
Duta Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal berkata, sambutan Aidilfitri diadakan di pejabat kedutaan di Ankara saban tahun.
"Selain mengeratkan hubungan dengan 830 orang rakyat kita di sini, sambutan ini adalah sebagai penguat rindu buat kami yang jauh dari tanah air,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau, terdapat seramai 140 rakyat Malaysia yang bekerja di Turkiye, manakala selebihnya 580 adalah pelajar.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud berkata, selain mengeratkan silaturahim, sambutan ini juga dapat memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat Malaysia kepada orang luar.
Menurutnya, seramai 253 rakyat Malaysia kini berada di negara tersebut.
"Dianggarkan sekitar 200 orang bekerja di Laos yang terlibat dalam pelbagai sektor industri, antaranya perbankan, food and beverage (F&B), perlombongan, pendidikan dan pertanian,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca