SETELAH diberikan mandat pada PRN2022 lalu, ADUN Skudai, Marina Ibrahim bertekad untuk melaksanakan proses rejuvinasi di kawasan Skudai. Biarpun ia merupakan penggal pertamanya selaku wakil rakyat di kawasan berkenaan, ada beberapa perkara... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH diberikan mandat pada PRN2022 lalu, ADUN Skudai, Marina Ibrahim bertekad untuk melaksanakan proses rejuvinasi di kawasan Skudai.

Biarpun ia merupakan penggal pertamanya selaku wakil rakyat di kawasan berkenaan, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan segera.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI bersama Marina baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Apakah perancangan yang telah ditetapkan bagi kawasan Skudai,bagi tempoh lima tahun akan datang?

MARINA: Antara peracangan kita adalah untuk melaksanakan proses rejuvinasi di Skudai. Kalau kita lihat kawasan Skudai ini merupakan kawasan perumahan moden yang pertama di Johor. Oleh itu dalam lima tahun, perancangan kita adalah untuk melaksanakan proses rejuvinasi tersebut.

Lagi pun, di kawasan ini banyak perumahan flat dan merupakan kawasan yang telah lama wujud sudah berpuluh tahun dan kawasan perumahan di Taman Ungku Tun Aminah kebanyakannya pula agak daif.

Jika langkah rejuvinasi tidak dimulakan, mungkin akan mengundang masalah yang lebih besar.

Saya beri contoh, masalah longkang tersumbat disebabkan ia dibina tidak mengikuti spesifikasi pembinaannya dan tambahan pula sekarang ini keadaan cuaca tidak menentu ketika ini yang mungkin boleh menyebabkan berlakunya banjir.

SINAR HARIAN:Setelah dipilih sebagai wakil rakyat dan selaku ADUN bagi kawasan Skudai, apakah cabaran terbesar yang dihadapi?

MARINA: Cabaran paling besar untuk saya adalah ibarat ‘saya seorang Melayu nak kerja di sini’, namun, setelah beberapa bulan, saya dapati sebenarnya, keadaan itu tidak wujud pun dan kita boleh bagi kerjasama yang baik.

Oleh itu, bagi saya, proses merejuvinasikan semula kawasan ini, ternyata sebenarnya berupa persepsi, misalnya kedua-dua pekerja saya merupakan adalah pekerja bukan Melayu, tapi sebenarnya tak timbul pun masalah kerana walaupun mereka tidak boleh berbahasa Melayu.

SINAR HARIAN: Bila sebut Skudai, orang ramai pasti mengaitkannya sebagai sebuah bandar universiti terutamanya dengan kewujudan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), apakah ada perancangan untuk mewujudkan lebih banyak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Skudai?

MARINA: Kalau diikutkan, sekarang ni tidak ada lagi kawasan yang ‘kosong’ di Skudai, bagi tujuan pembinaan institusi pengajian tinggi (IPT) di sini atau kawasan yang boleh dijadikan sebagai hub pendidikan dan sebagainya.

Marina (kiri), bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), baru-baru ini.
Marina (kiri), bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), baru-baru ini.
Marina (kiri), bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), baru-baru ini.

Namun, mungkin ada kawasan yang bersesuaian di sebelah Iskandar Puteri, untuk didirikan universti, selain dijadikan sebagai hub pendidikan di negeri ini.

SINAR HARIAN: Banjir di Johor baru-baru ini menyebabkan beberapa kampung di sekitar Skudai seperti Kampung Sepakat, Kampung Laut, Kampung Batu 10, dinaiki air. Apa perancangan untuk mengatasi masalah ini agar tidak berlarutan?

Seperti yang kita sedia maklum, beberapa kawasan seperti Kampung Sepakat Baru, Kampung Laut, Kampung Batu 10 di kawasan Skudai ini turut dilanda banjir hingga memerlukan sebuah pusat pemindahan sementara dibuka.

Mengenai masalah banjir ini, kita sudah pun berbincang dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Exco Kerajaan Negeri.

Apa yang kita bincangkan bukan isu banjir sahaja, tetapi kita turut sama-sama membincangkan mengenai banjir kilat yang kerap berlaku di sesetengah kawasan.

Antara tindakan yang akan dilaksanakan adalah seperti pelebaran sungai. Kita juga dapati inisiatif yang baik daripada pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk memasang perangkap-perangkap sampah di sungai-sungai berkenaan.

SINAR HARIAN: Bagaimana anda melihat prestasi Kerajaan Perpaduan ketika ini terutamanya melibatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.Benarkah kerjasama itu wujud?

MARINA: Pada saya, untuk mencapai keserasian tu bukan mudah, perlukan kerjasama daripada kedua belah pihak.

Tapi, kalau ikut konteks yang kecil macam di Johor itu sendiri, bagi saya kita dah capai kesepakatan, kesepaduan lebih awal sebelum Kerajaan Perpaduan itu sendiri terbentuk.

Kalau kita tengok Menteri Besar kita (Datuk Onn Hafiz Ghazi), orang muda dan juga memiliki pemikiran orang muda.

Malah, kami sebagai pengimbang ini merupakan sebahagian daripada negeri Johor untuk mencapai kesepakatan.

PROFIL

Nama: Marina Ibrahim

Tarikh lahir: 3 Oktober 1987

Asal: Kluang, Johor

Adik beradik: Empat orang (anak kedua)

Kelulusan: SK Perempuan Bandar, Kluang, Madrasah Arabiah Kluang, SM Taman Kluang Barat, Diploma Pemasaran (Politeknik Merlimau, Melaka) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan,Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Aktiviti lain: Mengajar kanak-kanak UNCHR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian)

Klik di sini untuk terus membaca