SHAH ALAM - Langkah kerajaan menganjurkan rumah terbuka bersempena Hari Raya Aidilfitri di enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi disifatkan sebagai mempunyai motif tersirat politik.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Jayum Jawan, menerusi rumah terbuka yang diadakan itu, ia menjadi satu peluang buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendekati rakyat.
"Dekat sini, Anwar boleh buat satu rapat umum dengan masyarakat sekitar, bertemu dan mengetahui keadaan mereka dengan lebih dekat.
"Pada masa sama, pada kesempatan majlis itu, beliau ada peluang untuk mengumumkan sebarang inisiatif untuk penduduk di negeri berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Jayum menambah, penganjuran rumah terbuka berkenaan tidak bermakna usaha tersebut dapat membeli pengundi daripada kalangan pembangkang atau golongan atas pagar.
Jelasnya, masyarakat kini semakin matang dalam membuat keputusan bagi memberi mandat kepada pihak yang ingin mentadbir negara.
"Orang ramai sekarang bila nak mengundi, mereka akan tengok visi, cara kerja dan prestasi sesebuah parti.
"Jadi, setakat buat majlis, ia tidak semudah itu kerana rakyat sekarang sudah ada pendirian,” jelas beliau.
Beliau bagaimanapun menambah, sebarang acara rumah terbuka yang dijalankan di premis kerajaan tidak boleh berlaku pembaziran.
Ujar Jayum, ini kerana setiap perbelanjaan tersebut sebenarnya melibatkan hasil titik peluh orang ramai yang membayar cukai.
Klik di sini untuk terus membaca