ALHAMDULILLAH, setinggi kesyukuran kita panjatkan kepada ALLAH SWT.
Kita sudah melepasi Ramadan penuh kemuliaan dan memasuki bulan Syawal pada hari ketiga.
Namun, hari-hari mendatang akan memberikan kesan amat besar kepada mereka yang berbelanja melebihi kemampuan.
Ia amat berkemungkinan berlaku ketika musim perayaan disebabkan perbelanjaannya melebihi hari-hari biasa yang lain.
Umum mengetahui, ketika ini situasi ekonomi negara amat tidak menentu, ditambah pula dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan mendadak harga barangan.
Semua perkara itu berlaku serentak yang menyebabkan situasi menjadi amat tertekan terutama tatkala menyambut Aidilfitri.
Ia bukan sahaja melibatkan pengguna, bahkan peniaga juga turut terkesan.
Sebahagian peniaga berdasarkan maklum balas diterima menyatakan tidak memperoleh keuntungan diharapkan.
Berkemungkinan disebabkan kuasa membeli berkurangan terutama melibatkan sebahagian perniagaan yang berkurangan permintaan, antaranya perniagaan kuih raya.
Ada kuih raya yang tidak laku walaupun peniaga telah melabur atau mengeluarkan jumlah modal agak besar dan mengharapkan agar keuntungan diperoleh seperti tahun sebelum ini.
Namun, hakikat sebenarnya sebahagian berakhir dengan jualan agak perlahan dan keuntungan diperoleh jauh lebih rendah daripada disasarkan.
Ada juga keadaan peniaga memperoleh keuntungan berlipat ganda untuk jenis barangan tertentu tetapi secara keseluruhannya kuasa membeli berkemungkinan telah mula menunjukkan trend berbeza jika dibandingkan tahun sebelum ini.
Kuasa membeli itu juga perlu dilihat daripada pelbagai aspek.
Antara persoalan penting dalam menilai kesan kuasa membeli tersebut – adakah pengguna menggunakan wang simpanan atau wang gaji untuk membeli barangan raya?
Atau adakah sebahagian pengguna menggunakan pinjaman diperoleh untuk membeli barangan keperluan raya?
Ia perkara yang penting disebabkan oleh kuasa membeli tersebut jika datang daripada pinjaman terutama pinjaman along, amat berbahaya untuk jangka panjang.
Beberapa media telah melaporkan berlaku peningkatan signifikan terhadap permohonan pinjaman along semasa hari-hari pada musim perayaan dan perkara itu cukup membimbangkan.
Perbelanjaan melebihi kemampuan akan meningkatkan potensi untuk meminjam daripada along.
Bahkan gaji seterusnya yang akan diterima berkemungkinan kurang lebih sebulan lagi.
Itu bermakna, bukan sahaja perbelanjaan pada musim perayaan, malah perbelanjaan selepas minggu pertama perayaan sebelum menerima gaji seterusnya terutama mereka yang menerima gaji pada penghujung Mei amat kritikal situasi mereka jika tidak diurus secara berhemah.
Kita perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dengan pinjaman along yang tentu sekali akan menjejaskan mental dan emosi peminjam yang akhirnya akan memberikan kesan kepada produktiviti di tempat kerja serta kualiti kehidupan bersama keluarga.
Kita perlu berbelanja mengikut kemampuan sahaja.
Amat penting untuk bersifat sederhana dan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti berunsur riba serta memupuk rasa cukup dengan apa yang ada berdasarkan kemampuan.
Elakkan sebarang bentuk pembaziran dan berbelanja secara bijaksana.
Selain itu, kita juga perlu bijak melihat peluang di hadapan untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.
Pada raya pertama, sempat bersua dengan sahabat lama sekolah yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Horley Methodist, Teluk Intan, Perak.
Katanya, peluang meningkatkan pendapatan amat luas di hadapan, namun tidak digunakan sepenuhnya disebabkan pelbagai alasan yang menghalang kita mara ke depan.
Sebaik pulang ke rumah, penulis teringat kata-kata hikmat di mural dinding sekolah kesayangan penulis itu yang masih segar dalam ingatan selepas 25 tahun mengakhiri zaman persekolahan.
Tanamkan azam setinggi bintang
di langit,
Rendahkan hati serendah mutiara
di lautan,
Orang yang rajin mencari peluang,
Orang yang malas mencari alasan.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah
Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca