SHAH ALAM - Keputusan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar yang hanya menggantung seorang pembantu manakala dua lagi kembali bekerja selepas mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan atas pengambilan pekerja asing tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah hak majikan.
Setiausaha Agung Malaysia Corruption Watch (MCW), Rosdi Amir berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira siasatan yang dilakukan SPRM berhubung perkara tersebut.
Katanya, apabila seseorang itu dibawa atau dipanggil untuk membantu siasatan oleh SPRM tidak bermakna individu berkenaan sudah disabitkan dengan kesalahan rasuah.
"Dalam hal ini saya percaya menteri membuat keputusan setelah proses SPRM lengkap. Bersalah atau tidak seseorang itu hanya akan ditamatkan pada penghujung proses dan ditentukan oleh mahkamah,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Memetik laporan sebuah portal, terdapat sumber memberitahu, seorang pembantu Sivakumar digantung tugas manakala dua lagi kembali bekerja selepas mereka ditahan SPRM.
Menurut sumber tersebut, pembantu yang digantung tugas itu dibayar gaji oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan penggantungan tugasnya dibuat mengikut prosedur.
Sumber lain mengesahkan bahawa dua pembantu yang lain telah kembali bekerja.
Tambah Rosdi, sekiranya yang diterima bertugas itu ditahan semula oleh SPRM dan terkait atau dituduh maka menteri boleh membuat keputusan untuk menggantungnya.
"Undang-undang ini tidak rigid. SPRM adalah satu badan yang mengawal selia mengenai isu rasuah dan saya amat percaya agensi itu tidak melakukan sesuatu siasatan dengan membabi buta selain melaksanakan tugas secara profesional,” tambahnya.
Beliau turut berpendapat kecenderungan berlakunya rasuah adalah disebabkan pemusatan kuasa.
"Contohnya, di satu-satu tempat atau jabatan hanya seorang yang memberi kelulusan dan ia menyebabkan tiada nilai semak dan imbang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca