SEJAK berkurun lama, masyarakat Tionghua telah sebati dengan budaya pemberian angpau sewaktu perayaan Tahun Baru Cina. Angao, atau Hong Bao dalam sebutan Mandarin bermaksud sampul merah yang biasanya diisi dengan sejumlah wang.
Dalam budaya masyarakat Tionghua, warna merah dianggap sebagai warna yang 'ong', atau membawa erti riang ria, murah rezeki dan nasib yang amat baik. Budaya pemberian angpau ketika sambutan Tahun Baru Cina telah menjadi satu amalan wajib, malah amalan tersebut turut menjadi lirik lazim dalam lagu-lagu sambutan perayaan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan.
Dengan peredaran masa dan elemen-elemen baru yang diterap bersama budaya tradisi lama, amalan memberi angpau kini bukan hanya berlaku ketika musim perayaan Tahun Baru Cina tetapi juga di pelbagai majlis keraian yang disambut oleh masyarakat Tionghua seperti sambutan hari kelahiran, majlis perkahwinan, menyambut kelahiran bayi baru dalam keluarga atau sebagai bekal kepada anak atau saudara mara yang bakal merantau meninggalkan keluarga.
Pengamalan budaya memberi angpau oleh masyarakat Tionghua telah secara langsung membawa kepada persediaan mental untuk berbelanja lebih ketika musim perayaan atau majlis keraian. Tidak timbul soal rungutan kenapa harus berbelanja lebih untuk bagi angpau kerana ia satu amalan lazim yang sudah lama dipraktikan secara turun temurun.
Bagaimana pula dengan amalan pemberian duit raya sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri?
Dalam ingatan saya, duit raya biasanya diberi dalam sampul warna hijau, sehingga terciptanya istilah 'Qingao' atau sampul hijau dalam bahasa Mandarin yang memberi makna simbolik duit raya yang diberi sewaktu Hari Raya.
Pengenalan saya kepada amalan pemberian duit raya adalah ketika saya masih di zaman sekolah rendah pada tahun 80-an apabila cikgu Melayu saya akan melawat setiap kelas sebelum cuti raya untuk mengenal pasti senarai nama dan bilangan pelajar di setiap kelas yang layak menerima duit raya.
Pada zaman itu masyarakat masih lagi tidak terbeban dengan fenomena songsang sekumpulan lelaki Melayu menari-nari sambil memakai baju Melayu ketat. Duit raya pula biasanya diberi hanya kepada golongan miskin atau berpendapatan rendah agar mereka tidak tersisih jauh daripada menyambut keriangan sambutan hari raya.
Sepanjang ingatan saya, sejak waktu itu sehinggalah saya tamat pengajian sekolah menengah, amalan memberi duit raya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan satu amalan yang dilakukan secara meluas seperti mana pemberian angpau yang menjadi komponen wajib sambutan Tahun Baru Cina.
Tanpa disedari dan tidak tahu tarikh bila secara spesifik atau siapakah personaliti yang mempelopori budaya memberi duit raya oleh setiap keluarga, masyarakat Melayu kini turut mempraktikan amalan pemberian duit raya bermula 1 Syawal seperti mana masyarakat Tionghua memberi angpau pada hari pertama Tahun Baru Cina.
Tiada pertikaian yang ingin ditimbulkan. Pepatah Melayu ada menyebut 'rezeki jangan ditolak', sudah pastinya suasana raya lebih meriah khususnya bagi anak-anak kecil apabila mereka menerima duit raya. Hanya sedikit perkongsian dari perspektif silang budaya agar kita saling lebih memahami dan menyantuni kepelbagaian budaya yang menjadi keunikan masyarakat kita.
Sambutan Aidilfitri adalah perayaan utama negara yang diraikan oleh semua rakyat Malaysia dengan perasaan syukur, riang dan ria. Semoga rakan-rakan muslimin dan muslimat selamat tiba di kampung halaman masing-masing bersama keluarga tersayang. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin.
* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.
Klik di sini untuk terus membaca