SHAH ALAM - Orang ramai berisiko maut akibat strok haba sekiranya terdedah pada suhu 37 darjah Celsius melebihi lapan jam.
Namun begitu, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh menjelaskan, keadaan itu selalunya melibatkan golongan berisiko seperti pemandu teksi, penunggang p-hailing, petani dan mereka yang bekerja dalam keadaan terdedah cahaya matahari secara berterusan.
"Suhu yang meningkat boleh menyebabkan kematian tetapi di Malaysia, risiko itu amat rendah kecuali kepada orang tertentu yang bekerja di luar bangunan.
"Biasaya orang yang bekerja syif enam hingga lapan jam, mereka turut terdedah pada suhu yang panas. Itu amat bahaya dan boleh menyebabkan dehidrasi dan jika dalam keadaan ekstrem, boleh menyebabkan kematian mengejut,” katanya pada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan Jabatan Mateorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran mengenai suhu di sembilan kawasan di negara ini berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) berikutan ia boleh boleh meningkat kepada 35 hingga 37 darjah Celsius.
Dalam pada itu Dr Sharifa Ezat turut menyarankan orang ramai untuk mencari alternatif seperti memasang penyaman udara di kediaman bagi mengurangkan risiko terdedah dengan suhu yang panas.
"Bagi mereka yang berkemampuan, pasang penyaman dan pembersih udara (di kediaman) tetapi sekiranya tidak berkemampuan, pastikan keadaan rumah ada sistem pengudaraan yang baik.
"Tingkap perlu dipasang dengan penahan cahaya supaya dapat mengelakkan cahaya matahari masuk secara terus selain dapat mengurangkan udara panas memenuhi ruang rumah.
"Selain itu, banyakkan minum air untuk mengelak dehidrasi dan kepada golongan berisiko, perlu banyakkan berehat ketika keadaan terlalu panas supaya suhu badan dapat dikurangkan apabila terdedah terlalu lama dengan cahaya matahari,” dedahnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai memantau warga emas dan kanak-kanak agar tidak berada di luar kediaman untuk jangka waktu yang panjang ekoran golongan berkenaan juga berisiko mendapat kesan daripada fenomena berkenaan.
Kes kematian dipercayai akibat strok haba
28 Februari 2015
Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Manggis, Banting, Selangor dilapor meninggal dunia akibat strok haba ketika sedang menjalani latihan bola sepak peringkat daerah.
18 Mac 2016
Seorang lelaki berusia 23 tahun maut akibat mengalami masalah dehidrasi yang kritikal ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, Johor.
29 April 2016
Pelatih Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) berusia 23 tahun meninggal dunia ketika latihan fizikal di sebuah politeknik di Jitra, Kedah.
1 Februari 2017
Dua remaja lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di Kota Bharu, Kelantan dipercayai akibat strok haba.
16 Mac 2021
Seorang budak berusia tiga tahun meninggal dunia dipercayai mengalami strok haba akibat cuaca panas melampau selepas ditinggalkan dalam kereta tanpa ruang pengudaraan di Alor Setar, Kedah.
Klik di sini untuk terus membaca