SHAH ALAM - Dianggarkan kira-kira 100,000 pekerja yang bernaung di bawah kontraktor yang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum menerima pelarasan gaji minimum.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, isu berkenaan akan dibawa dalam Himpunan Ambang Hari Pekerja pada 30 April bertempat di Dataran MTUC.
"MTUC menjemput seluruh pekerja di bawah kontrak kerajaan hadir untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa pekerja terdesak dan mengesa kerajaan mengambil tindakan.
"Kehadiran pekerja bawahan menunjukkan solidariti MTUC bersama pekerja bawahan dalam memperjuangkan hak pekerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah Kamarul Bahrin, untuk menyelesaikan isu berkenaan, KPM dan KKM dicadang menyediakan data kontraktor untuk digunakan bagi membayar pelarasan kadar gaji minimum, termasuk tunggakan secara terus kepada pekerja dalam sektor itu.
"Kedua-dua kementerian itu juga perlu bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk tujuan berkenaan,” kata beliau.
Menurutnya, tunggakan gaji adalah titik peluh pekerja yang perlu diberikan dan menerusi pendekatan itu, penahanan bon juga boleh dibuat jika kontraktor gagal membayar pelarasan kepada pekerja.
"MTUC tidak bersetuju jika kerajaan memutuskan untuk membayar pelarasan hanya kepada kontraktor yang sudah membayar gaji minimum berserta dengan bukti pembayaran, memandangkan syarikat akan gagal membuktikan pembayaran tersebut.
"Cara pembayaran pelarasan ini akan menyebabkan pekerja dinafikan hak mereka dan berlaku penganiayaan terhadap pekerja bawahan,” ujar Kamarul.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan majikan membayar tunggakan kepada pekerja.
Tegas beliau, langkah itu boleh dilaksanakan dengan KSM menggunakan kuasa bagi memastikan semua pekerja di sektor bawah kontrak kerajaan mendapat hak mereka.
"Pengalaman pembayaran pelarasan perintah gaji minimum pada 2016, 2019 dan 2020 boleh dijadikan rujukan.
"MTUC mencadangkan supaya KSM memanggil pihak berkepentingan bagi memastikan isu gaji minimum tidak menjadi beban kepada kerajaan.
"Isu ini boleh menjadi barah yang mendatangkan perspektif buruk terhadap kerajaan.
"Mekanisme pembayaran pelarasan kadar gaji perlu diwujudkan supaya menjadi panduan kepada pekerja dan kontraktor setiap kali perintah gaji minimum baharu diumumkan,” jelas beliau.
Ujarnya lagi, disebabkan isu itu, ia telah menyebabkan ketidakadilan kepada pekerja bawahan sejak sekian lama, maka tindakan segera dan berkesan wajar diambil.
Susulan kepentingan pelaksanaan itu juga, katanya, bersempena Hari Pekerja pada 1 Mei ini, MTUC mengharapkan isu pelarasan tersebut akan dinikmati dan menjadi realiti kepada seluruh pekerja di bawah kontrak kerajaan.
Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelarasan kadar gaji dan upah mengikut perintah gaji minimum bagi kontrak perkhidmatan kerajaan, katanya, ia amat melegakan MTUC.
Tambahnya, ia menunjukkan perjuangan MTUC dalam mendapatkan pelarasan kadar gaji minimum sudah direalisasikan Perdana Menteri, selepas perjumpaan kepimpinan kesatuan itu bersama beliau pada 28 Mac lalu.
"Keterbukaan Perdana Menteri amat dihargai MTUC yang mewakili pekerja kontrak perkhidmatan kerajaan, seperti pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah, hospital serta lain-lain yang sepatutnya menerima gaji minimum RM1,500 bermula pada 1 Mei tahun lalu.
Klik di sini untuk terus membaca