COPENHAGEN - Pencemaran udara menyebabkan lebih 1,200 kematian pramatang melibatkan golongan berusia 18 tahun ke bawah di seluruh Eropah selain meningkatkan risiko penyakit kronik di kemudian hari.
Amaran itu dikeluarkan Agensi Alam Sekitar Kesatuan Eropah (EEA) pada Isnin walaupun pencemaran tersebut menunjukkan penurunan baru-baru ini.
"Tahap pencemaran udara utama di blok itu terutamanya di bahagian tengah-timur Eropah dan Itali kekal berada di atas garis panduan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” ujar agensi itu berdasarkan data kajian ke atas lebih 30 negara termasuk 27 anggota EU.
Laporan itu bagaimanapun tidak meliputi negara perindustrian utama Rusia, Ukraine dan Britain.
EEA percaya angka kematian keseluruhan di rantau itu adalah jauh lebih tinggi.
Pada November lalu, EEA mengumumkan 238,000 kematian pramatang di EU termasuk di Iceland, Liechtenstein, Norway, Switzerland dan Turkiye yang berpunca daripada pencemaran udara pada tahun 2020.
Kajian pada kali ini pula adalah yang pertama memfokuskan golongan kanak-kanak.
"Pencemaran udara ambien meningkatkan beberapa risiko masalah kesihatan termasuk asma, penurunan fungsi paru-paru, jangkitan pernafasan dan alahan.
"Pihak berkuasa berkaitan perlu memberi tumpuan terhadap usaha untuk meningkatkan kualiti udara di sekitar sekolah dan nurseri serta kemudahan sukan dan hab pengangkutan massa,” tegas EEA.
Tujuh juta kematian
Kualiti udara yang buruk juga boleh memburukkan lagi keadaan kronik seperti asma yang dialami sembilan peratus kanak-kanak dan remaja di Eropah serta meningkatkan risiko diserang penyakit kronik apabila golongan itu meningkat dewasa.
Data terbaharu dikeluarkan EEA menunjukkan 97 peratus daripada penduduk bandar pada 2021 terdedah kepada udara yang tidak mematuhi saranan WHO.
Pada tahun lalu, agensi tersebut menggariskan EU berada di landasan untuk mencapai sasaran mengurangkan kematian pramatang sebanyak 50 peratus menjelang 2030 berbanding pada 2005.
Pada awal 1990-an, zarah halus mengakibatkan hampir sejuta kematian pramatang setahun di 27 negara anggota blok berkenaan, namun angka itu menurun kepada 431,000 pada 2005.
Sebelum ini, WHO berpendapat, keadaan di Eropah adalah lebih baik berbanding rantau lain berikutan pencemaran udara telah menyebabkan tujuh juta kematian di seluruh dunia yang sebahagian besarnya didakwa berpunca daripada tabiat buruk merokok dan diet tidak sihat.
Selain itu, ratusan ribu kematian yang mencetuskan kebimbangan melibatkan golongan berumur di bawah 15 tahun di rantau tersebut.
Negara di Asia Tenggara juga tidak terkecuali berdepan masalah tersebut.
Menurut data pada minggu lalu, kira-kira 2.4 juta penduduk di Thailand dilaporkan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerana masalah kesihatan serius berkaitan pencemaran udara selepas negara itu diselubungi jerebu toksik yang bermula sejak awal tahun lalu. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca