KASIHAN sekali menjadi artis. Orang teruja melihat mereka menjadi hero dan heroin di kaca televisyen, tapi orang juga berseronok melihat mereka bercerai berai. Orang tak peduli jika air mata mereka tumpah dan menjadi topik kecaman pula.... Klik di sini untuk terus membaca

KASIHAN sekali menjadi artis. Orang teruja melihat mereka menjadi hero dan heroin di kaca televisyen, tapi orang juga berseronok melihat mereka bercerai berai.

Orang tak peduli jika air mata mereka tumpah dan menjadi topik kecaman pula. Kisah cerai berai di belakang rumah, anak pinak dan sahabat handai dianggap tak pernah terjadi.

Memang benarlah, jika dilihat senarai panjang artis Barat yang bercerai, sesekali kita pun andaikan yang artis itu suka bercerai. Dan ada satu kajian terbaharu, yang tidaklah begitu akademik sifatnya oleh Marriage Foundation terhadap 484 senarai pelbagai kategori selebriti antara tahun 2001-2010, memang anak seni suka bercerai.

Di Malaysia, walaupun tak setiap hari kita ambil tahu hal artis Barat, tapi sepertinya ramai yang tahu pelakon veteran Elizabeth Taylor pernah ada tujuh orang suami. Untuk kita, kisah rumah tangga beliau mungkin lebih terkenal daripada filemnya.

Itu belum termasuk kisah perkahwinan Britney Spears dan Jason Alexander yang bertahan 55 jam sahaja, atau Nicolage Cage dan Erika Koike yang cuma bertahan empat hari.

Tapi di Barat, kisah glamor bercerai ini mungkin ada lebih nilai beritanya. Mereka bukan sahaja terkenal di seluruh dunia, malah bercerai dengan pampasan jutaan dolar pula.

Malah kisah penceraian pun boleh dijadikan filem dokumentari. Kisah kes turun naik mahkamah hero filem Pirates of Carribean, Johnny Depp dan pasangannya, Amber Heard yang panas di seluruh dunia pada tahun 2016, kini sudah boleh ditonton dalam dokumentari Johnny VS Amber.

Kelihatannya ketika naik pun boleh membuat wang, tatkala jatuh pun masih menghasilkan wang juga.

Jadi di Malaysia apalah sangat yang hendak kita riuhkan dengan kisah kahwin cerai artis ini. Ia mungkin tak sampai untuk jadi dokumentari pun. Ia kisah kecil sahaja.

Hakikatnya, daripada jumlah 40,000 lebih penduduk Malaysia bercerai setiap tahun, hanya ada seorang dua sahaja artis yang bercerai.

Jadi, jangan kerana mereka disukai ramai, ia patut menjadi berita nasional, seolah-olah sama pentingnya dengan kes korupsi ahli politik juga. Banyak lagi kisah indah yang lain.

Artis juga tak perlulah berlebihan mensensasikan kisah rumah tangga di media sosial. Diam-diam sudahlah.

Tidak perlulah juga cuba mengaitkan artis dengan perceraian, kerana ia mungkin hanya sekadar tanggapan yang tidak ada kena mengena juga. Mereka juga seperti orang lain. Mungkin agak berbeza, mereka popular dan ada rupa. Itu sahaja.

Dalam psikologi, selalu disebutkan illusory correlation - atau hubungan yang tak ada kena mengena. Misalnya kita selalu mengaitkan risiko naik pesawat lebih tinggi daripada naik kereta.

Realitinya yang mati kerana kemalangan di jalan raya berlaku setiap saat. Tapi kemalangan pesawat di udara jarang-jarang berlaku.

Begitulah juga tidak ada hubung kaitnya menjadi artis dan bercerai ini. Yang jodohnya panjang pun ramai juga.

Jadi, daripada kita semua tak berhenti bercerita tentang kisah negatif artis, ada baiknya kita bercerita tentang mengapa setelah puluhan tahun, drama Melayu kita tak sudah-sudah dengan babak duduk makan depan meja.

Atau, mengapa setelah puluhan tahun menjadi anak seni, di hujung usianya banyak yang terlantar hidup sebatang kara, atau terpaksa meminta ehsan di sana sini. Mengapa filem kita tak mampu laku di serata dunia seperti filem Hong Kong atau Hindi?

Sekurang-kurangnya ia boleh mengubah banyak perkara yang tak kena dengan filem tempatan kita.

Artis begitulah! Atau sebenarnya kita yang begini. Kita memang suka bercerita hal orang lain yang tak ada mengena dengan diri kita.

Kasihan artis.

* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.

Klik di sini untuk terus membaca