BAGI orang Melayu, sebagai penduduk majoriti di negara ini, Aidilfitri merupakan paling utama dirayakan saban tahun memandangkan ia adalah perayaan bagi mereka yang beragama Islam.
Bangsa Melayu dan Islam mempunyai hubungan yang begitu unik, malah hubungan ini tidak pun wujud bagi bangsa dan negara Arab sendiri yang merupakan tempat asal agama Islam.
Menurut Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, ‘orang Melayu’ ertinya seseorang yang menganut agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu...”
Hubungan unik ini meletakkan bangsa Melayu sebagai satu bangsa yang tidak boleh dipisahkan dari agamanya dan bakal terkesan akibat apa jua yang berlaku terhadap Islam di dalam negara mahupun global.
Dalam tempoh beberapa tahun ini, cabaran, tekanan dan permasalahan berkaitan Islam, baik dalam dan luar negara yang berpunca daripada pihak yang sekian memusuhi Islam, selain masalah dalaman umat sendiri terus bergolak seakan tiada kesudahannya.
Dari kebiadaban rejim Zionis yang menodai kesucian masjid al-Aqsa dan pembunuhan di Gaza, pembakaran al-Quran dan larangan berpakaian secara Islam di Eropah dan India serta kemusnahan negara seperti Iraq dan Afghanistan oleh kuasa Barat adalah antara yang menonjol.
Konflik bersenjata sesama umat Islam hari ini pula telah mencapai tahap yang amat meresahkan. Di Yemen, menjelang Aidilfitri berpuluh penduduk miskin mati akibat terpijak rempuhan manusia yang berebut-rebut mahu mendapatkan bantuan hanya AS$10 seorang.
Perang yang berlarutan antara umat Islam di negara itu, yang diapi-apikan pula oleh negara jiran yang juga merupakan negara sebangsa dan seagama telah menyebabkan kesengsaraan bukan sedikit kepada penduduk awamnya.
Di Sudan, pagi Aidilfitri bergema dengan letupan dan percikan api, namun ia bukan letupan mercun dan bunga api, tetapi bom dan peluru yang membunuh dan memusnahkan harta benda akibat pertelagahan antara dua jeneral tentera dan militia yang kesemuanya beragama Islam.
Di Libya yang berhadapan perang saudara sejak tahun 2014, kini mempunyai dua kerajaan berasingan dan tidak menunjukkan sebarang kemungkinan untuk berdamai. Lebih buruk lagi kepimpinan terlibat dalam konflik turut menjadikan tarikh Aidilfitri sebagai isu politik.
Bagi kerajaan di timur Libya, ia menyatakan bahawa mereka telah melihat anak bulan dan mengeluarkan perintah agar Aidilfitri disambut pada Jumaat.
Mufti kerajaan berasingan di Tripoli pula menyatakan bahawa pihaknya tidak melihat anak bulan, oleh itu hari raya jatuh pada Sabtu.
Rakyat marhaen Libya merasakan menjadi mangsa pertelagahan akibat kepimpinan politik yang mendabik dada menyatakan merekalah lebih Islamik berbanding seteru mereka.
Ini adalah antara peristiwa yang berlaku sepanjang akhir Ramadan dan menjelang Syawal tahun ini. Ia menggambarkan kelemahan tidak mampu menghayati erti semangat dan roh Aidilfitri sesama umat. Takbir di pagi raya hanya berada di kerongkongan dan tidak meresap ke dalam jiwa.
Konflik bersenjata berpanjangan di kesemua negara yang majoriti penduduknya Islam sebenarnya banyak berpunca daripada manipulasi ideologi kepimpinan menggunakan politik sebagai modal untuk merebut atau mendapatkan kuasa.
Penggunaan bangsa dan agama sebagai batu loncatan oleh ahli politik bukanlah sesuatu yang baharu. Ini terutamanya sangat benar di negara ini yang bangsa majoritinya wajib beragama Islam.
Malangnya hari ini ikatan kepercayaan agama sama itu tidak lagi boleh dijadikan sandaran bahawa bangsa Melayu di negara ini bakal kekal utuh.
Jika umat Islam di Yemen (65 peratus ahli Sunnah), Sudan (90 peratus ahli Sunnah) dan Libya (95 peratus ahli Sunnah) kini menjadi medan konflik bersenjata sesama ‘saudara’ seislam, kemungkinan negara bakal terjerumus menerima nasib sama bukan lagi satu perkara mustahil.
Dalam kalangan ‘agamawan’ dan politikus bangsa Melayu hari ini pun telah ada yang melabelkan bangsanya sendiri yang tidak sehaluan arus pemikiran politiknya dengan pelbagai gelaran yang tidak sepatutnya.
Herdikan, cacian dan maki hamun pula kadangkala kedengaran di podium ceramah yang kononnya melaungkan kesatuan ummah.
Jika konflik politik sesama sebangsa ini pun gagal diredakan hari ini, tidak mustahil benteng kedaulatan negara dan bangsa yang sekian lama terbina kukuh akan menjadi semakin rapuh dan akhirnya runtuh.
*Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca