DI SEBALIK usia mencecah 98 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat masih ghairah mempertahan kelangsungan politiknya walaupun ramai pemerhati politik menyarankan sudah tiba masanya beliau bersara. Justifikasi yang diberikan adalah mudah,... Klik di sini untuk terus membaca

DI SEBALIK usia mencecah 98 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat masih ghairah mempertahan kelangsungan politiknya walaupun ramai pemerhati politik menyarankan sudah tiba masanya beliau bersara.

Justifikasi yang diberikan adalah mudah, zaman kegemilangan Dr Mahathir telah berlalu dan bekas Perdana Menteri dua kali itu perlu berundur agar dapat terus dikenang selaku negarawan ulung yang dihormati.

Hakikatnya, jawapan sama ada wajar atau tidak Dr Mahathir berundur daripada dunia politik terpulang kepada empunya diri, namun menjengah komentar penganalisis, masing-masing mempunyai pendapat berbeza.

Bagi penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain, tidak perlu mempertikai atau menghalang pendirian Dr Mahathir sekiranya beliau berniat mahu terus berada dalam politik.

"Walaupun telah lanjut usia namun fikiran beliau masih sihat, cergas, waras dan tidak nyanyuk. Pendapatnya tentang isu-isu negara termasuk politik juga masih relevan, rasional dan munasabah,” kata Ahmad Atory kepada Sinar Premium pada Khamis lalu.

Tambahnya, kedudukan Dr Mahathir tidak sekuat sewaktu masih menjadi pemimpin nombor satu negara, jadi mengapa perlu bimbang dengan keberadaannya dalam politik sekiranya sudah dianggap tidak relevan?

"Beliau bukan lagi ahli Parlimen, malah parti disertainya kini juga tidak berada di persada kuasa. Namun gesaan agar beliau berundur daripada politik sebenarnya menunjukkan bekas Perdana Menteri itu masih ada sentuhan berbisa,” katanya.

Malah menurut Ahmad Atory, terdapat kajian akademik menunjukkan Dr Mahathir akan lebih bertenaga sentuhan politiknya jika berada dalam situasi politik berkonflik.

Jelasnya, apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir sekarang bukanlah mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya beliau bercakap mengenai apa yang dilihatnya sebagai kepincangan Kerajaan Perpaduan, pimpinan Anwar.

"Beliau melihat Anwar tidak memperjuangkan sepenuhnya hak orang Melayu dan Islam selain pentadbiran Anwar tidak mempunyai pencapaian memberangsangkan apabila gagal menurunkan harga barangan, kos sara hidup, inflasi dan meningkatkan pelaburan luar,” ujarnya.

Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin pula berpendapat, untuk negarawan seperti Dr Mahathir yang bergelumang dengan politik sejak sekian lama, tiada istilah pencen politik secara total.

"Adakah dengan menggesa beliau meninggalkan dunia politik, Dr Mahathir akan terus berhenti daripada memikirkan hal-hal politik. Sudah tentu tidak.

"Once a politician, always a politician (sekali menjadi ahli politik, selama-lamanya ahli politik),” tegas beliau.

Katanya, pihak yang menuntut Dr Mahathir meninggalkan pentas politik atas alasan beliau mempunyai agenda peribadi tidak memahami sepenuhnya karakter bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.

"Perilaku politik beliau sejak dahulu adalah berani menegur jika ada kekurangan yang dirasakan perlu dibetulkan, tidak bermakna beliau ada niat untuk menjatuhkan sesiapa,” tambahnya.

Menurut Shamsul Amri, daripada mencari sisi buruk dan menggesa pengunduran Dr Mahathir daripada politik, adalah lebih baik beliau dijadikan penasihat negara berdasarkan pengalaman luas dan ilmu yang dimilikinya.

Bersara

Mengambil pandangan berbeza, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, Dr Mahathir sepatutnya bersara daripada politik aktif selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003.

"Ini kerana sanjungan tinggi pada waktu itu kepada beliau sebagai negarawan terulung tidak boleh dipertikai mana-mana pihak termasuk pembangkang dan seteru politik.

"Dan sepatutnya selepas melepaskan jawatan tersebut, beliau hanya memberi nasihat secara tidak rasmi kepada ahli politik khususnya dalam kerajaan,” ujarnya.

Sebaliknya, keputusan untuk kembali sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua pada tahun 2018 menampakkan Dr Mahathir tidak lagi relevan dengan tuntutan politik semasa.

Lebih malang, ‘comeback’ tersebut telah mencemar rasa hormat terhadap dirinya sebagai negarawan yang pernah memerintah negara selama 22 tahun.

"Amat malang seorang negarawan terpaksa mengalami nasib sebegitu, namun ia tidak akan berlaku sekiranya beliau menerima hakikat masanya telah berlalu dan tidak perlu mencampuri urusan tadbir negara,” katanya.

Turut senada, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ini waktunya Dr Mahathir perlu menetapkan keputusan berundur diri sepenuhnya daripada politik.

"Pertama kerana faktor usia, diikuti sejauh mana beliau masih relevan dalam politik negara yang menjurus ke arah politik lebih segar dan terbuka serta tidak menggunakan apparatus kerajaan untuk kepentingan kuasa.

"Kesemuanya merupakan faktor pendesak yang memerlukan beliau menetapkan keputusan dalam kadar segera,” ujar Mohammad Tawfik.

Tambahnya, prestasi buruk Dr Mahathir dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sehingga hilang wang deposit turut menjadi indikator untuk beliau menilai keperluan terus berjuang dalam politik negara.

Di samping itu, tindakan Dr Mahathir yang keluar masuk parti dan menubuhkan parti baharu turut menyebabkan huru-hara dan kekeliruan serta menghakis kepercayaan rakyat terutama orang Melayu.

Menurut Mohammad Tawfik, Dr Mahathir harus sedar sinar politiknya sudah malap dan untuk mengelakkan dirinya menjadi kebencian rakyat, beliau harus berhenti ‘memaksa’ kepimpinan negara mengikut telunjuknya.

"Negara ini bukan milik mutlak beliau dan kita mempunyai ramai lagi pemimpin pelapis generasi baharu yang mampu meneruskan legasi politik negara,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca