SAYA menulis tentang rangkuman Ramadan dalam artikel terakhir saya dan saya mengucapkan terima kasih kepada para penderma kempen yang dikendalikan oleh Ideas Autism Centre untuk pengajaran dan terapi. Bulan yang mulia ini juga adalah... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA menulis tentang rangkuman Ramadan dalam artikel terakhir saya dan saya mengucapkan terima kasih kepada para penderma kempen yang dikendalikan oleh Ideas Autism Centre untuk pengajaran dan terapi.

Bulan yang mulia ini juga adalah mengenai peningkatan diri dan pembaharuan. Bagi individu, hal ini sering dicapai melalui solat tarawih dan membaca al-Quran, yang membawa kepada kesedaran rohani dan pemahaman akidah yang lebih besar.

Sudah tentu, tidak semua penambahbaikan adalah bersifat keagamaan secara tersurat, terdapat rakan-rakan yang menggunakan Ramadan untuk belajar dalam bidang lain dan mengekalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Penambahbaikan dan pembaharuan telah menjadi isu semasa untuk negara kita juga, terutamanya semasa sidang Parlimen terkini.

"Akta untuk meminda Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Prosedur Jenayah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman yang berhubungan dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.”

Walaupun sudah ada moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak tahun 2018, amat mengejutkan penentangan terhadap rang undang-undang ini berjaya diredamkan, terutamanya memandangkan ulasan lepas mengenai isu ini bahawa atas alasan agama dan keadilan retributif, hukuman mati pasti akan dikekalkan.

Ada yang berhujah bahawa jenayah berat seperti pembunuhan harus terus dikenakan hukuman mati mandatori (untuk memberi keselesaan kepada keluarga mangsa), tetapi tiada siapa secara meyakinkan dapat menyangkal hujah Timbalan Menteri Undang-undang, Ramkarpal Singh bahawa hukuman mati adalah pencegahan yang tidak berkesan.

Dengan menganggap rang undang-undang itu juga diluluskan oleh Dewan Negara dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Malaysia mungkin beralih daripada menjadi salah satu daripada 53 buah negara (daripada 192 buah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) yang ‘mengekalkan hukuman mati dalam kedua-dua undang-undang dan amalan’ kepada salah satu daripada 25 buah negara yang ‘membenarkan penggunaannya untuk jenayah biasa, tetapi telah memansuhkannya secara de facto’ (Tujuh buah negara telah memansuhkannya kecuali semasa keadaan luar biasa seperti perang, dan 111 buah negara telah memansuhkannya dalam semua kes).

Bahagian de facto adalah penting: dalam perbualan baru-baru ini, seorang hakim kanan memberitahu saya bahawa walaupun hukuman mati akan tetap mengikut budi bicara hakim untuk segelintir kesalahan, secara praktiknya kebanyakan hakim tidak akan menghantar sesiapa ke tali gantung walaupun ia adalah satu pilihan.

Antara rang undang-undang lain yang berkepentingan, kanun keseksaan telah dipinda untuk menjadikan menghendap sebagai satu kesalahan (dan memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun dengan denda). Dan satu akta yang melalui Bacaan Pertamanya ialah Rang Undang-undang Kesihatan Mental (Pindaan), yang bertujuan untuk membolehkan pegawai intervensi krisis menangkap mana-mana orang yang cuba membunuh diri. Hal Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan yang lebih luas untuk menghapuskan jenayah cubaan membunuh diri.

Saya tidak pasti berapa banyak isu ini membebankan fikiran pengundi apabila mereka mengundi tahun lepas, tetapi masyarakat sivil nampaknya gembira dengan usaha perundangan ini.

Di luar perundangan, ia juga menggalakkan untuk melihat Parlimen, sebagai sebuah institusi, menjadi lebih kuat. 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) telah dibentuk mengenai Kewangan dan Ekonomi; Kesihatan, Sains dan Inovasi; Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri; Pembangunan Infrastruktur; Pendidikan; Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial; Sains, Inovasi dan Alam Sekitar; Keselamatan; Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan; Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan.

Selain itu, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) juga sedang diwujudkan semula berikutan pembubaran tahun lepas. Dalam sesi ini, dua buah KRPPM telah ditubuhkan: mengenai Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah serta mengenai Matlamat Pembangunan Mampan.

Seperti JKPK, KRPPM ini terdiri daripada ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang, malah turut melibatkan organisasi masyarakat sivil. Sebagai contoh, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) adalah sebahagian daripada KRPPM mengenai Integriti, Tadbir Urus dan Anti-Rasuah dan merupakan sekretariat KRPPM mengenai Pendanaan Politik (yang diharapkan akan ditubuhkan semula tidak lama lagi).

Bercakap dengan ahli-ahli Parlimen bukan eksekutif (backbencher), kesan yang diberikan oleh JKPK dan KRPPM terhadap cara mereka melihat peranan mereka adalah menakjubkan.

Berbanding hanya menyumbang kepada perundangan di Dewan Rakyat, mereka kini dapat mempertimbangkan secara serius pilihan dasar, mengkaji bukti, mendengar pendapat daripada pakar dan mengambil pendirian yang bebas daripada parti mereka.

Sudah tentu, tidak semua ahli Parlimen sama-sama berdedikasi dalam tugas mereka (dan sesetengahnya masih akan membuat kenyataan jahil, perkauman dan misoginis) tetapi organisasi masyarakat sivil sebahagian besarnya mengalu-alukan peluang baharu untuk interaksi dan input dalam penggubalan dasar. Satu lagi platform sedemikian ialah Siri Syarahan Yang di-Pertua yang saya telah memberikan syarahan sulung pada Disember 2018.

Secara amnya, saya dapati amat menggalakkan apabila Parlimen sebagai sebuah institusi telah melakukan pembaharuan untuk menjadikannya lebih dinamik dan reaktif kepada rakyat yang diwakilinya.

Jika institusi lain mengikuti Parlimen dalam mengambil langkah serupa, maka harapan untuk pembaharuan negara adalah sangat besar!

* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Pengasas IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca