KHAMIS lalu, roket percubaan SpaceX Starship telah dilancarkan dari pangkalannya di Texas, Amerika Syarikat. Inilah roket yang paling besar dan terhebat pernah terbina dalam sejarah angkasa lepas. Roket sepanjang 120 meter itu diharap akan... Klik di sini untuk terus membaca

KHAMIS lalu, roket percubaan SpaceX Starship telah dilancarkan dari pangkalannya di Texas, Amerika Syarikat. Inilah roket yang paling besar dan terhebat pernah terbina dalam sejarah angkasa lepas.

Roket sepanjang 120 meter itu diharap akan menyediakan enjin menghantar manusia ke bulan dan juga ke planet Marikh.

Bagaimanapun, roket tersebut meletup ketika ia baru meluncur selama empat minit pada jarak sejauh 38 kilometer ke angkasa.

Laporan awal menunjukkan lapan daripada 33 enjinnya tidak berfungsi.

Akibatnya, bahagian peledak yang berat tidak dapat dipisahkan daripada kapal angkasanya dan kerana itu SpaceX berkecai. Kejadian itu segera menjadi isu.

Elon Musk yang menjadi salah seorang pelabur dalam program tersebut memberi reaksi tidak dijangka oleh orang ramai.

Katanya: "Tahniah kepada pasukan SpaceX di atas pelancaran Starship yang memberangsangkan. Kita banyak belajar bagi pelancaran berikutnya untuk beberapa bulan akan datang!”

Pihak media memandang sinis reaksi Musk yang tampak tenang memberi reaksi. Apakah dia berlakon selamba untuk menyembunyikan kekecewaan?

Tetapi pakar-pakar angkasa sependapat dengan Musk kerana turut melihat letupan roket itu sesuatu yang biasa dalam fasa percubaan.

Begitulah bezanya antara orang yang memahami bahawa kegagalan itu adalah sebuah proses untuk berjaya. Berbanding dengan kita, ramai yang melihat kejayaan sebagai matlamat mutlak.

Apabila mengusahakan sesuatu, kita ingin berjaya. Setelah kejayaan dicapai, kita akan gembira seraya mendabik dada.

Berasa bodoh

Tetapi apabila kita gagal, kita akan monyok, kecewa dan berasa bodoh. Padahal hakikatnya, kejayaan itu sentiasa berselang-seli dengan kegagalan dalam apa juga usaha pun.

Bezanya, orang yang berasa dirinya gagal mungkin hanya sekali berjaya dalam usahanya. Sebaliknya, mereka yang berjaya itu biasanya telah mengalami lebih banyak kegagalan daripada kejayaan.

Napoleon Hill, penulis Think and Grow Rich iaitu buku motivasi terhebat sepanjang zaman mengingatkan bahawa apabila sesuatu perancangan itu tersasar daripada matlamat, ia hanyalah kekalahan sementara dan bukannya kegagalan yang kekal. Maknanya, tiada istilah kejayaan mutlak, apatah lagi kegagalan mutlak.

Malah, kegagalan yang datang berselang-seli dengan kejayaan itulah yang paling bagus. Berjaya dan kemudian gagal, berjaya dan gagal lagi adalah guru terbaik.

Ia membina karakter seseorang kerana kegagalan itu mengajar manusia agar tidak sombong dan bongkak di atas kejayaan-kejayaan yang pernah dirangkulnya.

Terimalah hakikat bahawa kejayaan akan sentiasa dibayangi kegagalan dan begitulah sebaliknya. Apabila kita memahaminya, maka barulah kita berani untuk berdepan dengan kegagalan. Ia lebih penting daripada tidak berani mencuba kerana takut pada kegagalan.

Sedarilah, belum pernah lagi ada manusia yang berjaya sebelum gagal kerana manusia itu pada asasnya dilahirkan jahil. Dia perlu belajar dalam segala hal.

Sejak kecil, dia berjalan jatuh sebelum dapat berdiri dan berlari. Dan, apabila sudah biasa berlari pun, dia boleh jatuh lagi.

Tetapi, tiada manusia yang takut berjalan setelah jatuh. Jadi, mengapa serik mencuba lagi apabila kita gagal dalam sesuatu yang diusahakan? Bangun dan berjalanlah ke garisan penamat. Bendera kejayaan sentiasa ada di situ!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca