SHAH ALAM - Cuaca panas tidak menjejaskan penanaman dan pengeluaran sayur terutama di kawasan tanah tinggi, kata Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong.
Menurut beliau, sebaliknya cuaca panas itu telah menyebabkan pengeluaran sayur meningkat dua kali ganda sehingga berlakunya lebihan dan terbuang tanpa dijual.
"Akhir bulan Mac hingga sekarang, hujan berhenti dan cuaca bertambah baik. Walaupun panas, pengeluaran berlebihan sehingga dua kali ganda. Kalau dulu, semasa hujan, tomato agak lambat untuk masak tetapi sekarang, hampir setiap hari masak. Dahulu hanya dapat 200 kilogram (kg), sekarang cecah 400kg.
Jelas beliau, antara punca pengusaha sayuran mengalami kerugian adalah disebabkan tiada permintaan oleh pengguna pada bulan Ramadan dan pasar tidak beroperasi ketika cuti umum perayaan.
Tambah Ee Mong, meskipun harga telah diturunkan sehingga 50 peratus, namun jualan masih tidak memberangsangkan sehingga menyebabkan kerugian kepada pekebun.
"Sebagai contoh, timun dijual RM3 untuk 10kg namun sekarang harga hanya RM2 sahaja. Pekebun rugi RM1. Tomato pula, dahulu boleh dapat sehingga RM3 tetapi sekarang kurang daripada RM1.
"Musim perayaan banyak pasar dan kedai makan yang tutup. Jadi memang tiada permintaan. Sekarang ini memang banyak lambakan dan terbuang sahaja. Sayur tidak boleh simpan lama, kebanyakan akan layu dan busuk,” ujarnya.
Menurut beliau, penanaman dan pengeluaran tidak terjejas walaupun musim panas kerana mempunyai sumber air yang mencukupi.
Ee Mong berharap agar masalah lebihan pengeluaran akan diatasi dalam masa terdekat memandangkan restoran, pasar lebih banyak akan dibuka selepas perayaan.
"Ini menyebabkan pembeli akan bertambah untuk khususnya yang Muslim,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca