SHAH ALAM - Spekulasi berhubung langkah kamikaze politik bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai strategi perang psikologi untuk melihat reaksi orang ramai terutama masyarakat Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Spekulasi berhubung langkah kamikaze politik bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai strategi perang psikologi untuk melihat reaksi orang ramai terutama masyarakat Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpandangan, tindakan tersebut adalah untuk memahami corak sokongan pengundi terhadap Perikatan Nasional (PN) sama ada masih kukuh atau sebaliknya.

"Saya anggap tindakan ini akan menyebabkan rakyat menyampah kepada PN kerana kalau ada beberapa orang daripada Barisan Nasional (BN) untuk korbankan kerusi Parlimen sekalipun, mereka tidak semestinya dapat menubuhkan kerajaan baharu.

"Perang ini akan berlanjutan sedangkan langkah itu tidak ada kepastian akan menghasilkan sesuatu, namun yang pasti ketidakstabilan kerajaan akan berlaku.

"Malah sekiranya ada ahli Parlimen BN keluar parti (tetapi) sokongan GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) masih kukuh di bawah Kerajaan Perpaduan, kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan tumbang,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan khabar angin kononnya terdapat cubaan baharu untuk menjatuhkan kerajaan melalui pilihan raya kecil Parlimen.

Mereka kemudiannya akan bertanding semula di kerusi terbabit di bawah lambang parti pembangkang.

Portal berkenaan turut memetik beberapa nama termasuk Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang dikatakan turut diintai dalam ‘misi’ menjatuhkan kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, Ka Siong dalam satu rakaman video ringkas menafikannya dan menegaskan MCA tidak tahu-menahu mengenai gerakan sedemikian.

Timbalan Perdana Menteri daripada GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof pula menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak boleh dipercayai.

Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpendapat jika khabar angin tersebut benar, tindakan ala kamikaze beberapa ahli Parlimen BN terlibat kelak dipercayai susulan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Seramai 10 ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO yang menandatangani SD (surat akuan bersumpah) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin (Presiden Bersatu) sebagai Perdana Menteri kemungkinan antara mereka yang merencanakan langkah ini.

"Maksudnya mereka sanggup melepaskan jawatan untuk memberi laluan PRK (pilihan raya kecil) diadakan, namun isunya adakah mereka ini layak bertanding selepas letak jawatan,” ujarnya.

Beliau berkata, tindakan berkenaan juga akan membuka ruang kepada Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO untuk membersihkan parti daripada golongan penentang yang bermuka-muka.

"Maksudnya kalau berlaku pertandingan semula (PRK), ini adalah peluang terbaik Ahmad Zahid membersihkan ahli Parlimen BN yang menentang sambil menamakan penyokongnya untuk mempertahankan kawasan terlibat dan saya jangka, UMNO akan menang besar kerana mendapat sokongan PH (Pakatan Harapan).

"Namun implikasi daripada tindakan itu sudah pasti merosakkan demokrasi sedia ada,” jelasnya.

3 senario boleh menyebabkan kerajaan tumbang

Sementara itu, terdapat tiga senario yang boleh menyebabkan kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tumbang, kata penganalisis politik.

Senario 1: PM letak jawatan

Peletakan jawatan oleh Anwar sebagai Perdana Menteri akan mengakibatkan seluruh kabinetnya dibubarkan. Ini berlaku pada era Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan pada 23 Februari 2020.

Realiti: Situasi politik semasa menunjukkan tiada sebab untuk Anwar meletak jawatan.

Senario 2: Kamikaze politik

Ahli Parlimen melancarkan gerakan kamikaze politik dengan menarik sokongan terhadap Anwar dan mencetuskan pilihan raya kecil Parlimen berdasarkan undang-undang antilompat parti. Pada masa sama terdapat blok parti yang menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri. Langkah ini memerlukan 38 ahli Parlimen kerajaan ketika ini untuk menarik sokongan.

Realiti: Dengan angka 148 atau dua pertiga ahli Parlimen menyokong kerajaan, ia mungkin sukar dilakukan. Pemimpin-pemimpin parti kerajaan dan pembangkang turut menafikan spekulasi politik kamikaze ini.

Senario 3: Undian di Dewan Rakyat

Kerajaan akan terbubar jika usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri mendapat undian majoriti ahli Dewan Rakyat. Undi tidak percaya boleh berlaku dalam beberapa keadaan seperti undi secara formal di Dewan Rakyat dan Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan tidak diluluskan.

Realiti: Anwar telah mendapat sokongan majoriti terhadap kepimpinannya di Dewan Rakyat, Disember lalu selain pelbagai RUU termasuk Belanjawan 2023 telah diluluskan.

Kedudukan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang

BLOK KERAJAAN (148)

Pakatan Harapan: 82

Barisan Nasional: 30

Gabungan Parti Sarawak (GPS): 23

Gabungan Rakyat Sabah (GRS): 6

Warisan: 3

Bebas: 2

KDM (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat): 1

PBM (Parti Bangsa Malaysia): 1

BLOK PEMBANGKANG (74)

Perikatan Nasional: 74

Klik di sini untuk terus membaca