Makanlah ketupat ini,
Dengan rendangnya sekali,
Sudilah rasa kuihku,
Pilihlah yang mana satu...’
LAGU itu seperti lagu-lagu raya lainnya, sedang perlahan-lahan meninggalkan kita selepas lebih dua minggu mendominasi ruang udara Malaysia.
Paling lebih ia akan bertahan sehingga penghujung Syawal sebelum berlalu pergi dan muncul semula menjelang Aidilfitri tahun depan.
Saya sengaja memilih rangkap lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini kerana terkenang gurauan seorang kawan lebih 30 tahun lalu yang mengatakan judul lagu itu sepatutnya bukan ‘Suasana Hari Raya’ tetapi ‘Mari Menambah Kalori’.
Imbauan kenangan gurauan kawan saya itu pula datang secara spontan apabila orang di sebelah berbisik: "Cukuplah tu, dah empat potong lemang, dua biji ketupat dan tiga sudu daging awak makan. Mudarat nanti.”
Itulah kelebihan seorang perempuan bernama isteri. Mereka bukan sahaja tahu apa yang kita belum buat tetapi juga sangat tahu apa yang kita sedang buat.
Ketika dalam perjalanan meninggalkan rumah terbuka itu, saya dihiburkan dengan sesi pengiraan kalori.
"Sepotong lemang 30gm mengandungi 100kcal tapi lemang-lemang tadi besar. Mungkin 60gm, maknanya sepotong 200kcal. Empat potong 800kcal, ketupat nasi dua biji 260kcal, rendang tiga sudu lebih kurang 400kcal...”
"Dan kita ada lima rumah lagi dalam senarai hari ini.”
Saya sangat bersetuju kalau ada orang berkata, tanpa golongan wanita, bidang sains pemakanan mungkin akan menjadi sendu dan tepu. Pendapat itu mungkin keterlaluan tetapi memang itulah realitinya.
Memang benar Bapa Sains Pemakanan orang lelaki, Antoine Lavoisier. Memang benar juga Bapa Dietetik Moden juga lelaki, Carl von Voit tetapi ia umpama mesin basuhlah juga, perekanya lelaki, majoriti penggunanya pula perempuan.
Orang lelaki, kalau ada pun cuma geng abang sado atau abang cantik. Yang lain-lain, yang macam saya, selalunya main belasah sahaja.
Sebab itu dalam majlis hari raya atau apa-apa majlis jamuan, yang duduk mengelilingi meja dan makan umumnya lelaki, orang perempuan pula mereka mengelilingi meja dan bersembang.
Jangan salahkan mereka, itu satu cara mereka mengamalkan diet yang sihat sebab sembang akan menyebabkan mereka tidak sempat hendak makan.
Pendapat umum mengatakan produktiviti mempunyai kaitan dengan kesihatan dan kesihatan pula berkait rapat dengan pemakanan.
Orang yang tidak cukup makan atau mendapat makanan tidak cukup khasiat, lazimnya memiliki tahap produktiviti rendah.
Begitu juga yang terlebih makan. Mereka mudah mendapat penyakit, kurang daya taakulan dan bla bla bla. Kita semua tahu hakikat itu.
Kita semua mahu menjadi manusia produktif. Kita semua mahu kekal sihat tetapi adakah tabiat pemakanan kita menjurus ke situ?
Kalau Ramadan dan Syawal dijadikan ukuran, jawapannya tentulah tidak. Sepanjang Ramadan misalnya, kita memang berlapar dahaga tetapi itu pada siangnya, selepas waktu berbuka sehingga imsak, kita acap kali berpesta makan.
Pada bulan Syawal lagilah teruk. Kita benar-benar kembali kepada fitrah sehingga apa yang melintas kita ‘belasah’, membujur lalu melintang patah.
Ramai tahu kadar kalori harian yang sesuai diambil adalah 2,000 bagi wanita dewasa dan 2,500 bagi lelaki dewasa. Kita juga tahu untuk membakar kalori berlebihan, kita perlu aktif.
Antara kaedah paling mudah ialah berjalan kaki. Secara puratanya 2,500 langkah boleh membakar kira-kira 100 kalori. Dari situ kita tahu kalau makan nasi kandar dengan lauk pauknya yang mengandungi 600kcal, kita kenalah berjalan 15,000 langkah untuk membakar kesemua kalorinya.
Boleh nipis tapak kaki. Tetapi tahu dan mempraktikkan apa yang kita tahu adalah dua perkara berbeza.
Di sinilah peliknya kita. Ketika Covid-19 melanda, kita begitu bersungguh-sungguh menjaga kesihatan. Semua prosedur operasi standard (SOP) kita patuhi. Kita takut sakit. Kita takut mati.
Tetapi dalam soal makan minum sikap kita berbeza. Kita memandang remeh pengambilan kalori berlebihan. Malah, kalau ada kawan berkira tentang jumlah kalori diambilnya, dia mungkin menjadi bahan jenaka seumur hayat.
Kenapa begitu? Mungkin sebahagian sebabnya terkandung dalam kenyataan rakan saya ini:
"Mengira kalori itu kerja orang senang, bos. Bagi orang macam saya ni pula, daripada mengira kalori lebih baiklah kira berapa ringgit baki duit yang boleh dibelanjakan setiap bulan. Bukan untuk beli simen bos tapi untuk beli makanan.” #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca