DEBAR Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang dijangka diadakan selepas bulan Jun menyaksikan parti-parti politik bakal bertanding mula menyusun strategi ‘perang’ masing-masing.
Objektifnya hanya satu, meraih sokongan terbanyak dalam kalangan para pengundi di enam negeri terlibat PRN kali ini iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Menariknya, selain jangkaan persaingan sengit antara dua seteru, iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang kini membentuk Kerajaan Perpaduan dan seteru utamanya, Perikatan Nasional (PN), pemerhati politik turut meramal beberapa kemungkinan luar biasa lain yang berpotensi berlaku.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis, antaranya adalah protes undi daripada akar umbi BN dengan tidak mengundi calon BN sendiri atau PH.
"Ambil contoh ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai yang menyaksikan pengundi BN tidak mahu mengundi PH walaupun di Tioman, orang PH boleh mengundi calon BN.
Ujarnya, tindakan protes tersebut mungkin berlaku berikutan rasa marah susulan pembersihan parti yang mengetepikan beberapa tokoh lama dan berpengaruh, selain kerjasama BN-PH yang dilihat ‘memakan diri’ kepada prinsip reformasi dan agenda menentang kleptokrasi.
Tambahnya, kerjasama BN dengan DAP turut membebankan parti untuk menjawab kepada akar umbi yang konservatif dan nasionalis, serta memberi peluang kepada parti lawan untuk meraih laba dengan menarik undi mereka sewaktu PRN kelak.
Tidak mengundi
Seterusnya, timbul kebimbangan undi bukan Melayu yang setia kepada PH akan melakukan protes dengan tidak keluar atau pulang mengundi seperti yang berlaku ketika PRN Melaka dan Johor akan menjejaskan peluang PH untuk mempertahankan kerusi.
Mujibu turut membangkitkan soal kemungkinan kerjasama antara DAP dan UMNO dalam membantu calon masing-masing yang akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN enam negeri.
"Tiada apa mustahil dalam politik, malah sebelum ini sudah acap kali berlaku kerjasama antara musuh politik.
"Saya melihat mereka (DAP dan UMNO) masih boleh menurut keputusan parti sekiranya diminta untuk membantu calon, namun mungkin juga keikhlasan dan semangat berkempen itu sedikit berkurang,” kata beliau.
Menurutnya, hal ini kerana walaupun terdapat hubungan di peringkat pusat antara pemimpin tertinggi menerusi mesyuarat penyelarasan Kerajaan Perpaduan, hubungan tidak berlaku di peringkat akar umbi sekali gus menyebabkan kejanggalan.
Seterusnya, Mujibu menyatakan kemungkinan dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC akan turut bertanding dalam persaingan PRN enam negeri ini, namun dengan jumlah kerusi yang sedikit.
"Di peringkat awal, kerjasama PH-BN untuk PRN ini nampak pasti, namun setakat ini masih banyak perkara yang belum dibincangkan secara tuntas.
"Justeru ramalan awal, MCA-MIC masih akan bertanding tetapi dengan jumlah kerusi yang berkurangan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mujibu mengakui sebarang kenyataan bercanggah dan kontroversi antara kepimpinan PH-BN boleh menjadi bahan manipulasi untuk PN ‘merosakkan’ momentum yang sedang dibina Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk PRN kali ini.
Strategi ampuh
Dalam pada itu, Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, sama ada gabungan PH-BN mahupun PN pastinya telah merangka strategi paling ampuh untuk memastikan kemenangan masing-masing dalam PRN ini.
Sehubungan itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan seperti skuad Jalinan Rakyat Wanita UMNO turun berkempen untuk calon parti lain termasuk DAP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi calon parti berkenaan.
"Dengan kesepakatan kepimpinan atasan, Jalinan Rakyat Wanita UMNO barangkali perlu akur berkempen untuk calon parti lain termasuk DAP.
"Apatah lagi wanita memiliki aura pemujukan terhadap pengundi dan pendekatan wanita adalah penting untuk membawa masuk aliran sokongan,” ujar Sivamurugan.
Menurutnya, jika sudah diputuskan akan bekerjasama, misalnya aliran sokongan BN kepada calon PH, maka ia perlu dizahirkan sebagaimana aliran sokongan PH kepada calon BN walaupun masing-masing akan menggunakan lambang parti sendiri.
"Ia hanya dapat dilakukan jika gerakan kempen dilakukan secara bersama dan permusuhan lama dihentikan ke arah politik berhemah.
"Ia tidak mustahil kerana Pas dan DAP pernah melakukannya dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat dulu dengan Parti Keadilan Rakyat menjadi gam antara keduanya.
"Strategi sama boleh diubah suai dalam kerjasama UMNO dan DAP atau MCA-MIC dengan Anwar sendiri mengepalainya,” tambahnya.
Sama ada PRN enam negeri kali ini akan menjadi saksi kali pertama kemungkinan MCA dan MIC tidak bertanding, Sivamurugan berkata, untuk memelihara kestabilan politik dalaman parti, anggota gabungan seharusnya tidak tergugat disebabkan wujud formula dan tawaran baharu di PRN kelak.
"Namun saya meramal MCA dan MIC tetap perlu diberi peluang bertanding untuk melihat kemampuan mereka menang dengan sokongan rakan blok lain dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Ditanya sekiranya dibenar bertanding namun dengan jumlah kerusi yang sedikit, adakah ini akan mengakibatkan kemungkinan boikot daripada kedua-dua parti komponen BN tersebut?
Sivakumar berkata: "Semangat BN perlu dipertahankan jika berlaku pengurangan kerusi untuk parti komponen dan masing-masing perlu kembali kukuhkan akar umbi untuk menang bukan di PRN sahaja tetapi pilihan raya lain.
"Sabotaj dalaman juga perlu dihentikan untuk menunjukkan komitmen dan semangat setia kawan,” katanya yang turut meramalkan PRN kali ini bakal diadakan serentak di enam negeri terlibat.
Klik di sini untuk terus membaca