SHAH ALAM - Spekulasi kononnya terdapat beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berpaling tadah untuk melaksanakan gerakan politik kamikaze bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan sebenarnya adalah usaha pihak tertentu untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Spekulasi kononnya terdapat beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berpaling tadah untuk melaksanakan gerakan politik kamikaze bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan sebenarnya adalah usaha pihak tertentu untuk melaga-lagakan parti-parti dalam kerajaan menjelang pilihan raya di enam negeri.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, spekulasi itu dipercayai dicipta oleh kelompok tertentu di luar Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang masih tidak berpuas hati dengan keadaan hari ini di mana kestabilan kerajaan serta hubungan parti-parti di dalamnya mula menampakkan hasil.

Ujar Menteri Luar itu, BN ingin menekankan bahawa tiada sebarang usaha dalaman daripada mana-mana ahli Parlimen koalisi itu untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

"Bahkan parti-parti komponen BN seperti MCA dan MIC sentiasa sepakat memastikan kerajaan hari ini kekal mentadbir dan stabil.

"Saya melihat spekulasi terkini ini adalah usaha kumpulan tertentu untuk melaga-lagakan hubungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya pemimpin berlainan parti saling berbalas kenyataan dan mengecam antara satu sama lain.

"Rakyat lebih mahu kerajaan hari ini kembali berfungsi sebagai kerajaan yang stabil dan dapat menyelesaikan masalah pokok mereka,” tegasnya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zambry yang juga Ahli Dewan Negara menjangkakan spekulasi politik berkenaan kejatuhan Kerajaan Perpaduan akan terus dimainkan oleh kelompok yang tidak senang dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kumpulan elit itu hakikatnya menyedari kedudukan Kerajaan Perpaduan pada hari ini adalah berbeza dengan situasi kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di mana mereka mudah merencana sebarang agenda yang mengganggu gugat kerajaan ketika itu disebabkan majoriti sokongan ahli Parlimen tipis.

"Kerajaan Perpaduan yang turut disertai BN memiliki sokongan dua pertiga ahli Parlimen, jadi mereka tahu bilangan itu agak sukar digugat.

"Ditambah parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yakin, persefahaman utuh dibina menerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan payah untuk diruntuhkan.

"Saya lebih melihat spekulasi ini sebagai satu bentuk perang psikologi untuk mengalihkan tumpuan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan daripada memfokuskan kemenangan pada PRN enam negeri kelak,” ujar Zambry lagi.

Klik di sini untuk terus membaca