SHAH ALAM - Ramai dalam kalangan anak muda pada masa ini sanggup berhutang semata-mata untuk membeli telefon pintar berjenama mencecah ribuan ringgit semata-mata mahu kehidupan mereka kelihatan mewah. Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ramai dalam kalangan anak muda pada masa ini sanggup berhutang semata-mata untuk membeli telefon pintar berjenama mencecah ribuan ringgit semata-mata mahu kehidupan mereka kelihatan mewah.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, trend remaja membeli telefon pintar secara berhutang iaitu menerusi pembayaran secara ansuran bulanan menggunakan pembiayaan kredit semakin membimbangkan.

Ujar beliau, terdapat sesetengah kes, pembeli sanggup membelanjakan wang sehingga melebihi RM8,000 demi untuk memiliki sebuah telefon pintar canggih.

"Saya lihat remaja kini begitu taasub untuk menggunakan telefon pintar yang harganya mencecah ribuan ringgit kerana tidak mahu dikatakan ketinggalan dan mahu dipandang hebat oleh rakan-rakan.

"Bukan itu sahaja, saya juga mendapati kebanyakan mereka merupakan golongan mahasiswa universiti, pelajar yang baru tamat sekolah dan hanya melakukan kerja sambilan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Subbarow berkata, kebanyakan remaja tidak dapat membezakan sama ada pembelian itu bersifat keperluan atau sekadar kehendak.

Pada masa sama, beliau turut kecewa dengan sikap golongan sedemikian kerana sanggup mengetepikan hal yang lebih utama berbanding memenuhi kehendak mereka.

"Remaja sepatutnya memberi perhatian kepada pendidikan dan tidak sewajarnya mereka menambah beban hutang hanya kerana mahu mendapatkan telefon pintar itu.

"Bukan itu sahaja, saya juga mendapati majoriti peminjam adalah remaja daripada kumpulan berpendapatan rendah dan mereka perlu elak membeli sesuatu barangan yang melebihi daripada kemampuan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, pembelian telefon pintar secara ansuran sebenarnya tidak baik untuk pengurusan kewangan terutama dalam kalangan generasi muda.

Ujar Nur Asyikin, golongan itu sepatutnya belajar menyimpan wang untuk membeli sesuatu barang yang diinginkan.

"Jangan biasakan diri dengan berhutang semata-mata mahu membeli barangan yang diimpikan.

"Golongan itu perlu tahu membezakan antara barang keperluan dan kehendak.

"Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kita perlu buang tabiat berhutang untuk membeli barangan kehendak dan perlu mengutamakan perbelanjaan keperluan terlebih dahulu,” katanya.

Pembiayaan telefon pintar paling banyak tertunggak Sementara itu, RHB Bank Bhd (RHB) dalam satu nota penyelidikan mendedahkan ramai pengguna iaitu peminjam tidak membayar hutang untuk pembiayaan telefon pintar.

Menurut nota penyelidikan yang diterbitkan oleh RHB Investment Bank Bhd, hasil kajian mendapati jumlah tidak membayar pembiayaan telefon pintar itu membentuk sebahagian besar daripada pinjaman tak berbayar (NPL).

Melihatkan kekangan itu dari sudut mikroekonomi yang berlarutan, pihak pengurusan Aeon Credit yakin pertumbuhan pembiayaan belum terima masih berkualiti dan penting bagi tahun kewangan 2024 (FY24).

"Pihak pengurusan Aeon Credit Service (M) Bhd masih berhasrat untuk mengembangkan pembiayaan belum terima kepada kira-kira 10 peratus berbanding setahun lalu, tetapi akan lebih memfokuskan pada pelanggan yang mempunyai skor kredit lebih tinggi, terutamanya buat segmen pembiayaan objektifnya.

"Memandangkan pembiayaan telefon pintar membentuk sebahagian besar daripada NPL.

"Segmen utama lain untuk pertumbuhan ialah kad kredit (melalui ekosistem peruncitan Aeon), pembiayaan kenderaan (khususnya ‘moped’ dan kereta terpakai) dan pembiayaan peribadi,” kata nota tersebut pada Rabu.

Tambah nota yang ditulis oleh penganalisis, Nabil Thoo dan David Chong itu, kos kredit dijangka meningkat sedikit pada tahun kewangan 2024, namun aktiviti pemilikan semula yang kembali dijalankan patut membawa kepada pemulihan yang lebih baik.

Jelasnya, melangkah ke hadapan, fokus Aeon Credit yang baharu adalah kepada pelanggan dengan kualiti kredit lebih kukuh dapat menjadi faktor positif buat NPL dan kos kredit.

"Pihak pengurusan (Aeon Credit) menjangkakan tekanan kualiti aset pada tahun kewangan 2024 dengan NPL dijangka meningkat kepada tiga hingga empat peratus daripada penutup tahun kewangan 2023 dengan sebanyak 2.89 peratus.

"Hal ini kerana aliran tunai para peminjam menguncup akibat tekanan inflasi, tetapi kumpulan ini selesa dengan perlindungan kerugian pinjaman (LLC) sebanyak 252 peratus dan peruntukan pertindanan pengurusan sejumlah RM105 juta, kira-kira 13 peratus daripada jumlah peruntukan,” ujar nota berkenaan.

INFO - Aeon Credit adalah sebuah institusi kewangan di Malaysia yang memperkenalkan skim pinjaman Easy Payment sejak tahun 1997.

- Aeon Credit telah disenaraikan di Bursa Saham Malaysia dan mempunyai 71 cawangan dan pusat servis atau perkhidmatan di seluruh Malaysia.

* Sumber: Aeon Credit Service (M) Berhad

Klik di sini untuk terus membaca