SHAH ALAM - Seorang pemuda berkongsi detik ‘maut’ dalam tempoh sembilan minit selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian paru-parunya yang rosak, kesan daripada rokok elektronik atau vape. Penyelia syarikat aksesori kenderaan,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pemuda berkongsi detik ‘maut’ dalam tempoh sembilan minit selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian paru-parunya yang rosak, kesan daripada rokok elektronik atau vape.

Penyelia syarikat aksesori kenderaan, Syazwan Zakaria, 34, berkata, paru-paru kanannya yang rosak terpaksa dibuang sebanyak 30 peratus selepas menghidap penyakit hemothorax, kesan daripada menghisap vape selama enam bulan.

"Isi daging paru-paru saya rosak dan bocor sehingga saya terpaksa dimasukkan ke hospital. Saya telah menjalani pembedahan yang meninggalkan enam lubang di badan selepas tiga kali ditebuk.

"Selepas keluar dari bilik bedah, saya tidak sedarkan diri selama sembilan minit. Pihak hospital terpaksa menggunakan bantuan pernafasan (CPR) serta melakukan proses ‘intubation’ kerana keadaan yang kritikal ketika itu.

"Sebaik sedar, saya melihat reaksi keluarga yang menangis kesyukuran selepas imbasan monitor hospital menunjukkan garis mendatar selama beberapa minit. Pada masa itu, saya memang berasa seperti di ambang kematian,” katanya kepada Sinar Premium.

Syazwan sedar dirinya telah mengambil langkah yang salah dengan memilih vape sebagai inisiatif untuk berhenti merokok selepas mengalami simptom sakit dada yang teruk serta nafas yang pendek.

"Namun, saya mengalami sakit dada yang teruk sebaik bangun tidur. Tidur malam saya terganggu kerana tidak selesa dan nafas tercungap-cungap seperti baru lepas bergaduh atau dihempap sesuatu.

"Selepas menanggung sakit selama enam bulan, saya mengambil keputusan untuk merujuk doktor pakar di hospital dan mendapat tahu bahawa paru-paru saya sudah bocor di bahagian bawah akibat vape pakai buang yang saya gunakan,” katanya.

Tambah Syazwan, pengalaman seolah-olah berada di ambang maut itu telah menyedarkan dirinya untuk menghentikan tabiat berbahaya tersebut.

"Perkara ini banyak memberi pengajaran kepada saya terutamanya apabila mengenangkan saya mempunyai isteri dan anak.

"Saya yakin ini adalah pilihan yang terbaik. Menghisap vape juga merupakan tabiat yang mahal yang mana saya menghabiskan RM90 seminggu.

"Anggaran kos kesihatan yang terpaksa ditanggung pula adalah sekitar RM80,000 kerana saya perlu melakukan pembedahan paru-paru sebanyak dua kali,” katanya.

Pakar jantung dan paru-paru turut memberi penjelasan kepada Syazwan bahawa ‘vaping’ adalah satu bentuk pengewapan yang akan melekat di paru-paru sehingga merosakkan dinding di dalam organ tersebut.

"Pakar menjelaskan kepada saya bahawa bahayanya vape ini adalah kerana ia merupakan satu bentuk pengewapan yang akan melekat di paru-paru dan menjadi tompokan putih dalam jangka masa yang panjang.

"Berbeza dengan rokok atau bahan tembakau, apa yang disedut akan masuk ke badan dan ia bakal meninggalkan kesan buruk tetapi tidak sekuat vape. Implikasi menghisap vape lagi tinggi dan berbahaya,” katanya.

Sebagai seorang yang pernah terlantar di hospital selama dua minggu akibat vape, Syazwan ingin menitipkan pesan agar semua golongan masyarakat tidak mencuba tabiat itu dan menjaga kesihatan dengan baik sebelum terlambat.

"Sekarang ini paru-paru saya semakin pulih dalam 85 peratus tetapi tidak normal seperti dahulu. Pesanan saya bagi sesiapa yang belum pernah vape, jangan sesekali mencuba,” ujarnya dengan nada kesal.

Klik di sini untuk terus membaca