SHAH ALAM - Permintaan tinggi terhadap rokok elektronik atau vape menyebabkan produk tersebut mempunyai nilai jualan yang tinggi sehingga mencecah RM4 bilion pada tahun lalu. Namun ketiadaan akta khusus bagi mengawal industri vape juga... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Permintaan tinggi terhadap rokok elektronik atau vape menyebabkan produk tersebut mempunyai nilai jualan yang tinggi sehingga mencecah RM4 bilion pada tahun lalu.

Namun ketiadaan akta khusus bagi mengawal industri vape juga telah memberi kesan negatif dengan kewujudan aktiviti penyeludupan produk itu terutama cecair nikotin dari negara luar.

Sumber mendedahkan, kegiatan itu turut melibatkan pemain utama industri vape tempatan apabila dipercayai menjadi dalang sebagai sindiket atau kartel yang sanggup ‘membeli’ pihak berkuasa bagi meloloskan barang dagangan itu.

"Barang dagangan ini akan masuk secara pukal ke Malaysia melalui jalan laut dan udara.

"Oleh sebab itu, kartel vape sanggup memberi suapan kepada pihak berkuasa di dua laluan masuk ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar sumber, meskipun sukar untuk dibuktikan berlaku perbuatan sogokan tersebut, namun secara logik pasti wujud satu kesepakatan antara kedua-dua pihak apabila barang dagangan yang besar dan pukal boleh masuk ke pasaran negara dengan begitu mudah.

Taktik licik

Tambah sumber, kumpulan terbabit juga disyaki menggunakan taktik licik dengan menipu maklumat jenis barang dagangan dalam borang daftar masuk yang sepatutnya disemak pihak berkuasa.

"Sebagai contoh, kartel vape akan mendaftar barang dagangan sebagai bahan kayu atau sebagai perisa makanan, selain tidak ada label atau pengesahan nikotin.

"Kumpulan kartel ini akan meminta supaya tidak membuat pemeriksaan ke atas barangan yang telah dipersetujui atau mereka akan ‘menyuap’ penguat kuasa,” dedahnya.

Sumber berkata, perbuatan merasuah bukan sahaja melibatkan penguat kuasa di pintu masuk negara, dan dibimbangi turut melibatkan penipuan daftar pendaftaran premis perniagaan atau kedai menjual rokok elektronik haram.

Jelasnya, ini termasuklah perbuatan ‘kawtim’ untuk meluluskan pendaftaran premis berkenaan sebagai kedai barangan elektronik atau kafe hipster.

Malah dakwanya lagi, kartel turut dipercayai ‘membeli’ individu dari agensi tertentu yang menjadi pemberi maklumat jika ada operasi serbuan akan dilakukan ke atas premis tersebut.

Mendedah lanjut, penjualan perisa nikotin terlarang termasuk yang dicampur dengan dadah dikesan masih berleluasa di pasaran gelap seperti di aplikasi Telegram dan WhatsApp.

"Meskipun harganya agak mahal iaitu RM200 bagi satu botol bersaiz 30 mililiter, namun ada yang sanggup membeli kerana ingin mencuba atau melepaskan gian dadah,” katanya.

Negara rugi

Dedah sumber, penjualan barang larangan itu tidak dilakukan secara terbuka malah penghantaran kepada pembeli juga dipercayai dibuat melalui kurier.

Tambahnya, susulan tindakan negara jiran membenarkan penggunaan dadah jenis ganja di negara itu, maka adalah tidak mustahil produk vape mengandungi ganja akan dibawa masuk ke Malaysia.

"Jika tidak dibendung, produk seumpama itu akan menjadi ‘pintu’ kepada anak muda untuk lebih mudah terjebak dengan najis dadah,” katanya.

Ujar sumber, kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM900 juta akibat penyeludupan rokok elektronik atau perisa vape haram pada tahun lalu.

"Jumlah kerugian tersebut dijangka meningkat kepada RM2 bilion tahun ini, jika perbuatan haram ini terus berleluasa tanpa pengawasan penuh,” kata sumber tersebut.

Tambahnya, turut timbul pertikaian ketika pemeriksaan terhadap cecair nikotin vape yang diisytiharkan sebagai perisa makanan dan menyebabkan produk itu terlepas begitu sahaja daripada tindakan sita.

"Pengesahan barangan berunsur nikotin hanya dapat dilakukan di makmal yang mempunyai peralatan secukupnya.

"Apabila pihak kartel ini berjaya memperdaya pihak berkuasa dengan ‘misdeclaration’ kepada barangan industri mereka itu sebagai perisa makanan, maka ia akan dilepaskan tanpa sebarang sitaan,” dedahnya.

Sehubungan itu, tindakan agresif dengan penglibatan semua agensi kerajaan perlu digerakkan agar aktiviti penyeludupan bahan bernikotin melibatkan vape dapat dibanteras sepenuhnya.

"Perlu ada kerjasama padu dengan pihak kastam dan antara agensi-agensi kerajaan terutama daripada badan berkuasa kesihatan,” tegasnya.

Dalam pada itu sumber Sinar Harian juga mendedahkan, vape jenis ‘Tiger pod’ dengan reka bentuk seakan permainan kanak-kanak mudah diperoleh di pasaran apabila dijual secara terbuka termasuk di kedai runcit.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di media sosial, promosi atau iklan rokok elektronik ini boleh dilakukan secara dalam talian, tidak seperti jualan rokok tembakau yang terikat dengan akta, malah tidak keterlaluan, ada syarikat vape didapati mahu menaja pasukan sukan di negara ini.

Vape secara terang-terangan dijual dalam bekas pameran kaca di sebuah premis di ibu negara bagi menarik pembeli.
Vape secara terang-terangan dijual dalam bekas pameran kaca di sebuah premis di ibu negara bagi menarik pembeli.
Vape secara terang-terangan dijual dalam bekas pameran kaca di sebuah premis di ibu negara bagi menarik pembeli.
Vape secara terang-terangan dijual dalam bekas pameran kaca di sebuah premis di ibu negara bagi menarik pembeli.
Vape secara terang-terangan dijual dalam bekas pameran kaca di sebuah premis di ibu negara bagi menarik pembeli.

Kedai vape beroperasi tanpa lesen

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar Lembah Klang mendapati beberapa kedai menjual rokok elektronik atau vape beroperasi tanpa memiliki lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang pengusaha vape yang enggan dikenali mendakwa, permohonan lesennya telah ditolak atas sebab tiada lesen khusus untuk perniagaan tersebut.

"Saya difahamkan PBT tidak mengeluarkan sebarang lesen kepada peniaga vape.

"Kalau penguat kuasa PBT mahu melakukan operasi, saya akan segera menutup kedai dan kadang-kadang mereka tidak kacau pun perniagaan kedai vape ini,” jelasnya.

Namun, menurut lelaki berusia lingkungan 20-an itu, dia tidak menjual produk vape dikenali sebagai ‘Tiger pod’ yang pernah menjadi kegilaan pengguna berikutan bentuknya mirip permainan kanak-kanak.

Katanya, sebelum ini, ada beberapa pengguna mahu membeli produk vape yang popular itu, namun dia tidak menjual produk berkenaan selepas ia menerima kecaman netizen di media sosial.

Pemerhatian wartawan Sinar Harian di sebuah kedai menjual vape di ibu kota mendapati premis tersebut menggunakan papan tanda sebagai kedai barangan elektronik.

Ketika didekati, jurujual kedai berkenaan enggan ‘membuka mulut’ apabila ditanya mengenai lesen perniagaan.

Namun wanita tersebut memaklumkan, menjual produk vape lebih menguntungkan kerana ia mendapat permintaan tinggi pelanggan tanpa mengira usia.

"Produk vape atau cecairnya boleh dibeli pada harga serendah RM2 hingga RM60 bergantung kepada jenisnya.

"Produk vape kini diiklankan secara dalam talian atau pengaruh selebriti dan influencer untuk menarik lebih ramai pelanggan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca