SHAH ALAM - Ahli Parlimen yang kononnya melakukan gerakan kamikaze politik bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan bukan untuk mempertahankan maruah diri tetapi sebaliknya hanya ingin mengejar habuan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, langkah itu patut dielakkan kerana akan memberi impak negatif kepada kestabilan politik dan juga negara.
"Kamikaze ini lebih kepada (menunjukkan atau membuktikan) kemuliaan dan maruah diri tetapi jika melibatkan politik, perbuatan itu bukan untuk maruah.
"Ia sebaliknya boleh merosakkan negara dari sudut kestabilan politik. Isu tersebut seperti yang pernah berlaku sebelum ini iaitu Langkah Sheraton.
"Mereka tidak akan keluar melainkan diberikan habuan tertentu yang dijanjikan. Ia bukannya prinsip tetapi menjurus kepada kepentingan diri. Jadi, jangan kaitkan kamikaze dengan isu keluar parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Mujahid, kemungkinan ada segelintir pihak yang cuba memburukkan nama Kerajaan Perpaduan dengan menyebarkan khabar angin seperti ini lebih-lebih lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan tidak lama lagi.
Justeru, rakyat diminta untuk meneliti terlebih dahulu dan jangan mempercayai isu berkenaan secara bulat-bulat.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok enggan melayan khabar angin tersebut yang disifatkan membuang masa.
Jelasnya, dalam keadaan sekarang, isu itu bukan keutamaan sebaliknya kebajikan rakyat perlu diberi tumpuan.
"Kami (Pakatan Harapan) tidak mahu melayan khabar angin, lebih menumpukan kepada kebajikan rakyat dan berkhidmat sebaik mungkin.
"Jika ahli Parlimen nak letak jawatan, pihak kami tidak boleh halang namun Barisan Nasional (BN) sudah menafikan isu ini dan kita terima,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca