SHAH ALAM - Bagai nyawa di hujung tanduk, begitulah derita yang ditanggung seorang pemandu lori yang terlantar tiga bulan di hospital kerana penyakit paru-paru berair dan bernanah yang dihidapinya akibat menghisap vape selama enam bulan.
Mohd Hapiz Ramli, 36, berkata, perbuatan menghisap vape itu telah memakan dirinya apabila dia mengalami batuk berdarah yang berpanjangan serta luka di paru-paru.
"Pada mulanya, saya mengalami sesak nafas, cepat letih dan dada seolah-olah dicucuk oleh pisau sejurus bangun dari tidur. Semasa mandi, saya sering tercungap-cungap seperti kepala ditenggelamkan di dalam baldi dan berat badan menyusut dari 120 kilogram (kg) kepada 74kg dalam masa dua bulan.
"Seterusnya, saya mengalami simptom batuk berdarah yang berpanjangan selama tiga bulan dan ianya berbau serta berwarna merah jambu akibat campuran darah dan nanah. Lebih parah, saya mengalami sakit yang melampau di dada sebelah kiri dan di bawah bahu sehingga pengsan di hospital.
"Hanya selepas enam bulan menghisap vape, doktor mengesahkan saya menghidap penyakit paru-paru berair dan keadaan saya agak kritikal. Saya terlantar di hospital selama tiga bulan lamanya,” katanya kepada Sinar Premium.
Paling mengejutkan, pakar kesihatan turut mengesahkan Mohd Hapiz mempunyai peluang yang tipis untuk hidup dan akan mengalami implikasi yang teruk sepanjang hayat akibat menghisap vape.
"Doktor mengesahkan saya hanya mempunyai 50 peratus peluang untuk hidup dan sekalipun terselamat, saya tidak boleh menjalani kehidupan yang normal seperti dahulu.
"Kes saya juga agak luar biasa dan berbeza berbanding mereka yang menghidapi penyakit yang sama kerana pakar terpaksa melakukan pembedahan membuang air serta nanah berbanding hanya mengeluarkan asap berlebihan di dalam paru-paru.
"Disebabkan vape, paru-paru saya terpaksa ditebuk sebanyak tiga kali. Anggaran rawatan kos penyakit ini mencecah hampir RM15,000,” katanya.
Peristiwa yang mengerikan itu sudah pasti membawa trauma yang hebat di alam hidup Mohd Hapiz dan meninggalkan kesan yang berpanjangan sehingga kini biarpun beransur pulih.
"Saya tidak boleh tidur secara mengiring ke kiri, berada dalam keadaan penat, bercakap terlalu lama atau mengangkat benda berat akibat luka pembedahan. Ini kerana paru-paru saya telah rosak sebanyak 10 peratus. Kini, setahun telah berlalu namun keadaan saya masih sama biarpun beransur pulih,” jelasnya.
Mohd Hapiz yang mempunyai sejarah penyakit asma berkata, menghisap vape merupakan hobinya di samping dapat mengurangkan rasa mengantuk ketika memandu lori.
"Saya seorang perokok sejak berumur 25 tahun dan mula menghisap vape kerana mempercayai trend itu dapat mengurangkan tabiat merokok.
"Saya hanya membelanjakan RM45 sebulan untuk hobi tersebut dan mengambil masa tiga ke empat minggu untuk menghabiskan satu botol cecair vape.
Walaupun tidak menggunakan vape dengan kapasiti yang banyak, ia telah mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan saya," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca