PADA 2005, David Foster Wallace, seorang penulis telah berucap pada majlis konvokesyen di Kolej Kenyon di Gambier, Ohio.
Ucapannya itu telah menjadi salah satu karya yang paling banyak dibaca orang.
Cerita beliau dalam ucapan itu: "Ada dua ekor ikan muda berenang bersama-sama dan kebetulan bertemu dengan seekor ikan yang lebih tua berenang ke arah lain, yang mengangguk kepada dua ikan tersebut sambil berkata ‘selamat pagi anak-anak, bagaimana dengan airnya hari ini?
”Dan dua ekor ikan muda itu berenang sebentar, kemudian salah seekor daripadanya memandang ke arah yang seekor lagi dan berkata: "Apa itu air?”
Wallace menjelaskan bahawa maksud di sebalik cerita dalam ucapannya ialah selalunya sesuatu realiti paling jelas dan obvious menjadi perkara yang pada kebiasaannya paling sukar untuk difahami ramai. Mungkin kerana ia terlalu obvious.
Kisah itu bagi saya sangat relevan dengan apa yang ingin dibincangkan dalam konteks Malaysia cuba mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Kita harus membincangkannya dalam konteks kaitannya dengan persekitaran dan budaya kita seharian di Malaysia, bukan menggunakan ukuran dari negara lain.
Sebab itu, kebiasaan aturan dalam masyarakat kita atau perkara-perkara yang obvious sebenarnya menghalang kita daripada melihat kebaikan yang boleh dibawa oleh inisiatif seperti SDGs.
Pada masa sama, ketetapan atau kebiasaan aturan dalam inisiatif pula boleh menghalang kita daripada memahami keperluan sebenar masyarakat.
Sebab itu, kita perlu mengimbangi kedua-duanya – antara kehendak dan keperluan masyarakat kerana setiap negara, masyarakat, komuniti serta rumah mempunyai keperluan dan kehendak yang berbeza.
Matlamat Pembangunan Mampan atau Lestari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sering digambarkan sebagai matlamat pembangunan alaf baharu untuk planet kita.
Sasaran asas adalah untuk membasmi kemiskinan, mencapai kesaksamaan dan memastikan semua orang mendapat akses kepada keperluan asas selaras dengan pembangunan mampan yang inklusif.
Dalam matlamat itu, kita mesti menentukan keperluan asas masyarakat dan lokaliti mereka, kemudian melihat bagaimana tadbir urus yang baik dapat memastikan kita mencapai matlamat tersebut.
Sebagai contoh, keperluan asas masyarakat seperti di Malaysia akan berbeza dengan matlamat negara seperti Syria atau Yemen.
Keperluan asas rakyat Palestin pula sangat berbeza daripada keperluan asas rakyat di Norway.
Jika kita gagal memahaminya, ia akan membawa kepada keadaan – yang kaya boleh menjadi terus kaya dan yang miskin akan kekal miskin kerana keperluan asas orang kaya tidak sama dengan keperluan asas orang miskin.
Ia menjadi lebih teruk apabila tiada komponen tadbir urus yang tertanam dalam aktiviti-aktiviti tersebut.
Tambahan pula, keseluruhan tanggapan tentang kepenggunaan sering dibaca daripada perspektif sudut Barat dan ia mungkin tidak mewakili dengan betul maksud kepenggunaan kepada seluruh dunia.
Keperluan dan kehendak pengguna di New York mungkin berbeza dengan keperluan serta kehendak pengguna di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang. Kos kedua-dua gaya hidup sangat berbeza.
Jika kita tidak mentakrifkan perkara itu dengan jelas, kita akan memasukkan lebih banyak perkara dalam keperluan asas kita dan ia tidak lagi mewakili perkara asas secara adil.
Ringkasnya, apa yang kita fikirkan sebagai keperluan untuk seseorang adalah kehendak orang lain. Ini bagi saya adalah asas apabila menangani SDGs daripada perspektif kepenggunaan dan meningkatkan taraf hidup kita dengan cara membasmi kemiskinan.
SDGs cuba mencari keseimbangan antara budaya kepenggunaan dan perlindungan alam sekitar. Kita perlu memastikan bahawa kita membangunkan program yang akan meningkatkan produktiviti ekonomi melalui kepenggunaan tanpa menjejaskan alam sekitar.
Saya berharap penyelesaian yang dibangunkan akan disesuaikan untuk kita di sini di Malaysia, merentasi pelbagai lokaliti, dari bandar ke pinggir bandar sehingga ke luar bandar.
Adalah tidak baik untuk kita mengambil produk dan penyelesaian dari tempat lain, kemudian meletakkannya di Malaysia.
Terdapat banyak perkara positif dalam SDGs tetapi apa yang diperlukan adalah menyesuaikan matlamat tersebut dengan keperluan tempatan setiap tempat dan mengimbangi antara keperluan serta kehendak.
* Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca