BANGKOK - Thailand masih memikirkan kaedah terbaik bagi membawa pulang seekor gajah jantan yang dianiaya di Sri Lanka.
Sak Surin merupakan salah seekor daripada tiga gajah yang dihadiahkan Thailand kepada kerajaan Sri Lanka sebagai duta muhibah pada 2001.
Selama berada di Sri Lanka, Sak Surin yang dinamakan semula sebagai Muthu Raja telah beberapa kali bertukar tuan.
Kerajaan Sri Lanka kemudian menyerahkan mamalia yang memiliki gading panjang itu kepada pengurusan Kuil Kande Viharaya di daerah Kalutara berhampiran bandar Aluthgama.
Di kuil berkenaan, gajah berusia 30 tahun itu ditugaskan membawa relik keagamaan semasa perarakan Buddha tahunan.
Bagaimanapun, sebuah kumpulan hak asasi haiwan, Rally for Animal Rights and Environment (RARE) membuat aduan berhubung penganiayaan terhadap gajah tersebut.
RARE mendakwa, kaki Sak Surin dirantai sepanjang masa yang menyebabkan kecederaan di seluruh badan sehingga menyukarkan pergerakan gajah malang itu.
Tahun lalu, RARE menggesa Sak Surin dihantar pulang ke Thailand bagi membolehkan gajah tersebut mendapatkan rawatan perubatan.
Kurang seminggu selepas aduan rasmi diterima, kerajaan Thailand bertindak mengatur rancangan untuk misi repatriasi Sak Surin.
Namun, misi tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan pergolakan politik di Sri Lanka yang menyaksikan negara Asia Selatan itu mengadakan pemilihan presiden baharu selepas Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke luar negara, di tengah-tengah krisis ekonomi yang semakin buruk.
Siasat dakwaan RARE
Pada Mei 2022, Kementerian Luar Negeri segera membincangkan nasib Sak Surin dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta meminta Kedutaan Diraja Thailand di Colombo untuk menyiasat perkara yang dibangkitkan RARE.
Pada Ogos 2022, Kedutaan Diraja Thailand di Colombo menjalankan siasatan utama dan mendapati Sak Surin tidak sihat serta terabai.
Serentak itu, pihak kedutaan dengan kerjasama pasukan pakar Thai daripada Jabatan Pemuliharaan Hidupan Liar dan Tumbuhan serta agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas Sak Surin.
Pakar membuat kesimpulan bahawa Sak Surin mesti berhenti daripada menyertai perarakan berkuat kuasa serta-merta dan perlu dibawa pulang ke Thailand untuk rawatan perubatan yang sewajarnya.
Dipindahkan ke zoo
Sejak 9 November 2022, Sak Surin telah dipindahkan ke Zoo Dehiwala untuk rawatan awal dan pemulihan di bawah jagaan pakar Thai serta Sri Lanka.
Difahamkan, bagi membolehkan Sak Surin dihantar pulang, kelulusan rawatan perubatan perlu diperoleh daripada pihak Sri Lanka dan proses penghantaran pulang Sak Surin ke Thailand mesti mengikut Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).
Dalam hal itu, Kedutaan Diraja Thailand sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Sri Lanka bagi membolehkan permit eksport dikeluarkan.
Prayut gesa repatriasi dipercepatkan
Dalam pada itu, penyandang Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha menggesa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Varawut Silpa-arca supaya mempercepatkan misi membawa pulang Sak Surin ke Thailand.
Wartawan yang membuat liputan sempena kempen pilihan raya Prayut terdengar perbualan pemimpin berkenaan dengan Varawut yang ditemuinya secara kebetulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada Ahad lalu.
Prayut kedengaran memberitahu Varawut: "Sila selaraskan dengan Kementerian Luar tentang bagaimana ia boleh dilakukan. Gajah itu mesti dibawa balik.
”Varawut sebelum ini menegaskan pihaknya tidak pernah mengabaikan kes Sak Surin dan mengakui proses membawa pulang gajah tersebut adalah rumit.
Beliau pernah mencadangkan untuk menggunakan pesawat dan kapal C-130, bagaimanapun idea tersebut dianggap tidak sesuai memandangkan saiz serta tahap kecederaan gajah itu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca