SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai yang ditemui mengaku suka menukar telefon pintar masing-masing kepada model yang lebih canggih dan mempunyai ciri-ciri teknologi terkini dalam dalam tempoh tiga tahun sekali. Berdasarkan tinjauan Sinar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai yang ditemui mengaku suka menukar telefon pintar masing-masing kepada model yang lebih canggih dan mempunyai ciri-ciri teknologi terkini dalam dalam tempoh tiga tahun sekali.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian bagi pengguna di sekitar Lembah Klang, sebab utama mereka berbuat demikian adalah kerana telefon pintar lama sudah rosak, atau ciri-cirinya sudah ketinggalan menyebabkan mereka tertarik kepada teknologi lebih terkini, termasuk ruang penyimpanan lebih besar.

Bahkan, rata-rata mengakui membeli telefon pintar secara bayaran ansuran agar tidak terbeban untuk membayar sekali gus, selain lebihan wang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.

Pekerja swasta, Mohamad Isma Fahmie Nordin Ahmad, 26 berkata, harga telefon pintar yang mahal sehingga mencecah ribuan ringgit pada masa kini menyebabkan dia membuat keputusan membayar secara ansuran.

"Sekarang, teknologi telefon pintar berubah dengan begitu cepat. Kalau dahulu saya pakai telefon bimbit iPhone 11, sekarang ini sudah ada iPhone 14 yang lebih canggih. Memang jelas ketara berbeza.

"Kualiti gambar, video memang sangat berbeza. Bagi saya, tiada masalah untuk bayar ansuran kerana saya memang sudah siap-siap tolak daripada gaji,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohamad Isma berkata, dengan membayar ansuran juga dia tidak terbeban kerana gaji yang ada cukup untuk membayar bulanan serta membuat simpanan.

"Saya buat ansuran ini melalui aplikasi. Apa yang baiknya, tiada bayaran tambahan atau kadar faedah dikenakan. Memang bayar harga telefon itu sahaja,” ujarnya.

Seorang lagi pekerja swasta, Muhammad Haziq Fikri Abu Hassan, 26, mengakui dia menukar telefon pintar setiap tiga tahun, antaranya disebabkan tertarik dengan ruang penyimpanan telefon pintar baharu yang lebih besar.

Menurutnya, walaupun membeli secara ansuran mengambil masa yang lama untuk dilangsaikan, namun ia tidak mendatangkan masalah baginya.

"Ya, saya beli telefon bimbit secara bayaran ansuran sebanyak RM344 sebulan. Setakat ini saya tidak ada masalah untuk bayar pada waktu ditetapkan.

"Apabila kita telah berhutang, kita perlu menjelaskannya dan tidak boleh ditangguhkan atau lari. Ini hanya mengundang padah kepada diri sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik kedai telefon pintar Dudisgroup Sdn Bhd, Muhammad Danial Maududi Burhanordin berkata, kedainya menyediakan perkhidmatan bayaran ansuran menggunakan syarikat pembiayaan kredit sejak tahun 2021 untuk memudahkan pembeli.

Bagaimanapun, katanya, pelanggan yang dibenarkan untuk membuat pembelian secara ansuran mestilah bergaji sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

"Ada juga yang bergaji RM1,000 sebulan tapi mahu memohon. Kita akan bantu juga buat permohonan tetapi ada yang diluluskan, ada yang tidak,” katanya.

Sehingga kini, katanya, lebih 5,000 pelanggan sudah menggunakan skim ansuran di kedainya dan kebanyakannya remaja berumur 18 hingga hingga 25 tahun.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah tersebut, kurang daripada 10 peratus yang gagal melunaskan ansuran bulanan pada tarikh ditetapkan.

"Kebanyakan mereka yang tidak bayar ini umur 18 hingga 21 tahun. Mereka ini kebanyakannya yang tidak mempunyai kerjaya tetap.

"Mungkin mereka teringin menggunakan telefon pintar yang canggih dan terkini, tapi tidak sedar gaji masih di paras minimum,” ujarnya.

Ansuran murah ibarat pelaris buat penjual telefon pintar

Sementara itu, ansuran mudah pada harga rendah dengan tempoh bayaran balik sehingga 36 bulan antara tawaran yang disediakan peniaga telefon pintar untuk menarik pelanggan.

Tinjauan di beberapa akaun Facebook syarikat yang menjual telefon pintar mendapati, banyak yang menyediakan ansuran bagi telefon bimbit berjenama yang ada mencecah hingga RM8,000.

Antaranya ialah jenama iPhone 12 Pro, iPhone 14 Pro, Huawei Nova 10 Pro dan Huawei Nova 10 yang ditawarkan dengan ansuran serendah RM121 hingga RM234 sebulan.

Sebagai contoh, harga asal bagi iPhone 14 Pro ialah RM5,799 namun ansuran bulanan kepada pembeli yang ingin membayar secara ansuran bernilai RM234 bagi tempoh 24 bulan.

Justeru, pembeli hanya perlu membayar pada harga RM5,616 iaitu lebih murah berbanding harga asal.

Syarat-syarat untuk membeli telefon pintar secara ansuran ialah pembeli mesti berumur 18 tahun ke atas, bebas daripada senarai hitam dan bekerja selama enam bulan ke atas.

Permohonan mengambil masa selama tiga hari untuk diluluskan dengan syarat gaji pokok RM1,000 sebulan.

Selain ansuran mudah pada harga rendah, tawaran lain kepada pengguna ialah ansuran tanpa kad kredit, kadar faedah istimewa dan hadiah barangan percuma menarik.

CONTOH BAYARAN ANSURAN TELEFON PINTAR

IPHONE

iPhone 14 Pro Max

RM5,799

Ansuran: RM256 x 24 bulan

iPhone 14 Pro

RM5,299

Ansuran:RM236 x 24 bulan

iPhone 14 Plus

RM4,699

Ansuran: RM211 x 24 bulan

iPhone 14

RM4,199

Ansuran: RM191 x 24 bulan

SMASUNG

Galaxy S23 Ultra

RM 6,199

Ansuran: RM155.53 x 36 bulan

Galaxy Z Fold 4

RM 6,799

Ansuran: RM283.29 x 36 bulan

Galaxy Z Fold3

RM6,699

Ansuran: RM279.13 x 36 bulan

Galaxy Z Flip4

RM 4,899

Ansuran: RM204.13 x 36 bulan

Galaxy S23 / S23

RM4,199

Ansuran: RM116.64 x 36 bulan

HUAWEI

Huawei Mate Xs 2

RM7,999

Ansuran: RM666.58 x 12 bulan

HUAWEI Mate 50 pro

RM4,699.00

Ansuran: RM391.58 x 12 bulan

Huawei Nova 10

RM 2,199

Ansuran: RM183.25 x 12 bulan

Huawei Nova 10 Pro

RM 2,599.00

Ansuran: RM216.58 x 12 bulan

HUAWEI Mate 50

RM 3,499.00

Ansuran: RM291.58 x 12 bulan

* Harga di atas mungkin berbeza bagi setiap kedai

Klik di sini untuk terus membaca