PENYEDIAAN rangkaian 5G adalah langkah seterusnya dalam landskap telekomunikasi Malaysia yang menjanjikan kelajuan sambungan sangat pantas dan berupaya merevolusikan industri di segenap pelusuk negara. Walaupun ada berpendapat operator... Klik di sini untuk terus membaca

PENYEDIAAN rangkaian 5G adalah langkah seterusnya dalam landskap telekomunikasi Malaysia yang menjanjikan kelajuan sambungan sangat pantas dan berupaya merevolusikan industri di segenap pelusuk negara.

Walaupun ada berpendapat operator rangkaian mudah alih (MNO) harus diberi peluang melancarkan rangkaian 5G mereka sendiri, model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) masih pilihan paling sesuai untuk Malaysia.

Perkhidmatan 4G yang telah diwarnai oleh kegagalan MNO adalah pengajaran penting perlu kerajaan pelajari. Bukan itu sahaja, kegagalan menteri dalam isu 5G dan ketiadaan keyakinan rakyat terhadap MNO menjadi sebab kenapa Malaysia harus mengekalkan model SWN.

Penyediaan perkhidmatan 4G di Malaysia dihantui oleh pelbagai masalah. Rangkaian terpecah, jurang liputan tidak sekata dan kualiti perkhidmatan berbeza menyebabkan pengalaman kurang memuaskan untuk rakyat.

Pada 2021, Malaysia menduduki tangga ke-48 dalam kelajuan jalur lebar mudah alih di seluruh dunia, dengan kelajuan purata hanya 25.6 Mbps. Prestasi yang ketinggalan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh sikap rakus MNO yang hanya mementingkan keuntungan dan pengagihan sumber dalam kalangan MNO yang bersaing.

Perkhidmatan 4G mula diperkenalkan pada 2013 dan MNO telah diberi peluang melaksanakan rangkaian 4G mereka sendiri, namun mengikut kenyataan menteri pada 20 Mac 2023, liputan rangkaian 4G baru sahaja mencapai tahap 97 peratus.

Selama 10 tahun rakyat menunggu untuk 4G kerana kerajaan mengikut telunjuk MNO yang hanya mahu mengambil untung. Model SWN mengatasi masalah itu dengan memberi mandat kepada satu entiti untuk melancarkan dan mengekalkan rangkaian 5G, memastikan pengagihan sumber yang adil dan kualiti perkhidmatan seragam.

Model tersebut akan membolehkan penggunaan spektrum yang efisien, yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat. Selain itu, ketidaksempurnaan visi dan pembuatan keputusan yang lemah oleh menteri telah menyebabkan penurunan keyakinan orang ramai.

Kegagalan menteri untuk mengatasi kelemahan yang wujud ketika penyediaan rangkaian 4G dan sikap berbolak-balik tentang penyediaan rangkaian 5G telah menimbulkan kebimbangan ramai.

Pelaksanaan model SWN yang menggabungkan tanggungjawab rangkaian 5G di bawah satu entiti boleh membantu mengelak risiko salah urus berterusan.

Saya berpendapat cadangan membenarkan MNO melancarkan rangkaian 5G sendiri adalah undangan untuk mengulangi kesilapan masa lalu. Infrastruktur yang berganda, pengagihan sumber tidak sekata dan rangkaian terpecah akan kita lihat di seluruh negara seperti yang kita lihat ketika penyediaan rangkaian 4G.

Cadangan itu juga boleh menyekat inovasi apabila MNO akan mengalihkan dana untuk bersaing dalam aspek infrastruktur rangkaian daripada melabur dalam pembangunan teknologi dan perkhidmatan baharu bagi keuntungan pengguna.

Lebih teruk, cadangan itu berisiko melebarkan jurang digital di Malaysia. Cukuplah dengan infrastruktur 4G sedia ada telah meninggalkan kawasan luar bandar dan terpinggir di belakang, dengan hanya 66 peratus kawasan berkenaan menikmati liputan 4G pada 2021. Jangan kita benarkan nasib sama berlaku ketika penyediaan 5G kali ini.

Saya percaya model SWN dapat memastikan rangkaian 5G mencapai semua rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi mereka. Adalah penting bagi Malaysia belajar daripada kegagalan penyediaan rangkaian 4G dan mengelak terperangkap dengan hujah serta helah cadangan penyediaan rangkaian 5G yang dikendalikan MNO.

Dengan berpegang teguh kepada model SWN, Malaysia dapat mewujudkan rangkaian 5G yang mampan, efisien dan inklusif. Mereka yang menentang model SWN jelas tidak memahami derita rakyat yang menunggu 10 tahun untuk rangkaian 4G yang hingga hari ini masih belum mencapai tahap 100 peratus dan hanya memikirkan keuntungan poket pihak berkepentingan.

Penentangan mereka yang berteraskan wang ringgit akan mengorbankan kemajuan teknologi dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Kerajaan bertanggungjawab memastikan penyediaan rangkaian 5G tidak menjadi mangsa tamak haloba pihak berkepentingan.

* SAC (B) Datuk Ahmad Noordin Ismail ialah Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca