SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menjalankan siasatan terperinci mengenai jenayah penyeludupan rokok elektronik atau vape yang didakwa melibatkan anggota jabatan berkenaan. Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menjalankan siasatan terperinci mengenai jenayah penyeludupan rokok elektronik atau vape yang didakwa melibatkan anggota jabatan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, pihaknya memandang serius mengenai dakwaan tersebut.

"Siasatan dari pelbagai sudut akan dijalankan termasuk mengenal pasti siapa dalang dan individu terlibat.

"Kastam juga akan mengesan modus operandi yang dilakukan oleh pihak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tegasnya, Jabatan Kastam tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pegawai mahu pun anggotanya yang terlibat dalam jenayah penyeludupan vape atau apa juga barangan.

Ujarnya, orang ramai adalah diminta untuk membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan.

"Orang awam diminta untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri.

"Jabatan Kastam juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” jelasnya.

Pada Khamis, Sinar Harian dalam laporan khas menyiarkan vape dibawa masuk secara pukal ke Malaysia melalui jalan laut dan udara.

Dipercayai kartel vape sanggup memberi suapan kepada pihak berkuasa di dua laluan masuk ini.

Meskipun sukar untuk dibuktikan berlaku perbuatan sogokan tersebut, namun secara logik pasti wujud satu kesepakatan antara kedua-dua pihak apabila barang dagangan yang besar dan pukal boleh masuk ke pasaran negara dengan begitu mudah.

MPAJ pantau 33 premis jual vape berlesen

Sementara itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan pemantauan ke atas 33 premis yang mempunyai lesen perniagaan menjual rokok elektronik (vape) yang telah diluluskan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, lesen perniagaan vape telah diluluskan di bawah aktiviti menjual rokok elektronik dan perisa rokok elektronik.

"Kelulusan aktiviti perniagaan itu selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dan Pembangunan Usahawan Bil.11/2021 dan disahkan Mesyuarat Penuh MPAJ,” katanya.

Norhayati berkata, kadar fi lesen aktiviti perniagaan menjual perisa dan rokok adalah RM500.

Norhayati
Norhayati

"Kadar fi lesen perniagaan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPAJ) 2007, Jadual Ketiga, II. Perniagaan, Perkara 53,” jelasnya.

Beliau berkata, sebarang permohonan kelulusan lesen perniagaan menjual perisa dan rokok elektronik perlu mengemukakan dokumen permohonan yang lengkap sebelum kelulusan diberi.

"Pemilik premis perniagaan yang menjual cecair atau perisa rokok elektronik hendaklah mengemukakan surat pengesahan kilang yang dibenarkan mengimpot cecair atau perisa daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebagai syarat dokumen tambahan,” ujarnya.

Menurutnya, lesen perniagaan kedai rokok elektronik hendaklah mematuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan oleh MPAJ beserta syarat tambahan yang ditetapkan dari masa ke masa.

"Syarat-syarat tambahan antaranya dilarang menjalankan aktiviti perniagaan selain daripada aktiviti yang telah diluluskan, dilarang memproses perisa cecair rokok elektronik di premis perniagaan.

"Dilarang menjual apa-apa peralatan rokok elektronik kepada individu di bawah umur 18 tahun dan tidak membenarkan individu yang berumur tersebut memasuki premis perniagaan rokok elektronik,” tegasnya.

Beliau berkata, MPAJ melaksanakan pemantauan lesen perniagaan menjual rokok elektronik setelah lesen perniagaan diluluskan.

"Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan jika pemilik premis perniagaan tidak mempunyai lesen perniagan yang sah daripada MPAJ,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca