SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan pihak bertanggungjawab untuk melakukan penyiasatan secara telus dan terperinci terhadap pegawai kerajaan yang mengamalkan gaya hidup mewah bagi mencegah penularan amalan rasuah.
Naib Pengerusinya, Zairudin Hashim berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi memastikan tiada pegawai kerajaan mengambil kesempatan semata-mata mahu memperoleh kehidupan ala kayangan.
"Apabila seseorang sudah terbiasa dengan hidup senang, mereka akan berasa tidak cukup dengan apa yang dimiliki sekarang, maka golongan itu mudah untuk terlibat dengan gejala rasuah.
"Jadi penyiasatan merupakan salah satu langkah untuk membanteras rasuah, walaupun bukan secara total tetapi ia dapat mencegah daripada berleluasa,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah beliau, sekiranya pihak bertanggungjawab melakukan penyiasatan dengan lebih kerap, terperinci maka ia akan membangkitkan rasa takut pegawai-pegawai lain untuk tidak terlibat dengan permasalahan itu.
Pada masa sama, Zairudin menjelaskan, SPRM perlu meletakkan pegawainya bertugas sebagai pemantau di mana-mana bahagian syarikat atau agensi yang sering terlibat dengan jenayah rasuah.
Jelasnya, bagi memastikan operasi pemantauan dan risikan berjalan lancar, identiti pegawai SPRM perlu dirahsiakan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak boleh ada sebarang kompromi yang melibatkan hukuman.
"Jika seseorang itu terlibat dengan jenayah rasuah, maka siasatan perlu dijalankan dengan adil dan hukuman perlu dijatuhkan seberat-beratnya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca