BEIJING - China meluluskan undang-undang antipengintipan yang disemak semula atas alasan untuk memperkukuhkan keselamatan negara di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat selepas ia didakwa mengintip negara Barat.
Kelulusan tersebut diberikan ketika mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) pada Rabu dan ia bakal dikuatkuasakan menjelang 1 Julai depan.
Presiden Xi Jinping menerusi ucapannya lebih banyak menekankan isu keselamatan berbanding ekonomi dan ia seolah-olah menggambarkan Beijing seperti takut dengan bayang-bayang sendiri.
Kebimbangan itu disuarakan buat pertama kali dalam ucapan dasar utama sejak Parti Komunis memegang kuasa pada 1949 selepas Beijing menjadi tumpuan komuniti antarabangsa berhubung isu ‘pencerobohan’ ke atas Taiwan dan pergeseran berterusan dengan seterunya, Amerika Syarikat (AS).
Beijing dan Washington berulang kali bertelagah tentang dakwaan pengintipan siber.
Kedua-dua negara kuasa besar dunia itu turut menuding jari menyalahkan antara satu sama lain terlibat aktiviti tersebut sehingga mengeruhkan hubungan China-AS.
Pada minggu lalu, jurucakap Suruhanjaya Hal Ehwal Perundangan NPC, Zang Tiewei berkata, takrifan undang-undang sedia ada untuk kegiatan pengintipan terlalu ‘kecil’ dan langkah pencegahannya tidak mencukupi.
"Situasi semasa untuk usaha menentang pengintipan agak suram. Pelbagai aktiviti pengintipan menjadi lebih kompleks dengan langkah yang semakin terselindung,” ujarnya.
Sementara itu, Profesor Hubungan Antarabangsa di University of Tokyo, Yasuhiro Matsuda berpendapat, versi asal undang-undang tersebut pada 2014 sebenarnya sudah ‘tegas dan kukuh’.
"Tetapi Beijing berpendapat ia masih belum cukup kuat,” katanya.
Bagaimanapun, masih tidak jelas bentuk perubahan yang dibuat NPC terhadap undang-undang antipengintipan tersebut.
Pada Selasa, akhbar Legal Daily melaporkan definisi aktiviti pengintipan akan diubah dan akan turut meletakkan serangan siber yang menyasarkan organisasi serta infrastruktur kritikal negara di bawah kategori sama.
Draf pindaan dikeluarkan pada Disember lalu mengatakan bahawa penyedia perkhidmatan internet perlu menyediakan sokongan teknikal kepada pihak berkuasa bagi menjayakan operasi antipengintipan.
Langkah tegas itu dibuat berikutan unit perang siber di bawah Agensi Keselamatan Negara (NSA) di Washington didakwa berjaya mengawal rangkaian telekomunikasi milik China selepas menggodam universiti dibiayai pemerintah seperti dilaporkan Global Times pada 2022.
China turut meningkatkan kempen memberkas warga asing yang disyaki melakukan pengintipan hingga mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak.
Siri penahanan warga asing yang didakwa terlibat aktiviti pengintipan telah meningkatkan lagi kebimbangan tentang impak pelaksanaan undang-undang itu pada masa depan setelah beberapa kerajaan asing menyifatkan kes tersebut sebenarnya bermotifkan politik.
Bertindak tegas Pada tahun lalu, seorang wartawan terkenal ditahan atas tuduhan melakukan pengintipan ketika sedang menikmati makan tengah hari bersama seorang diplomat Jepun.
Kolumnis kanan akhbar Guangming Daily, Dong Yuyu yang berada di bawah tahanan pihak berkuasa sejak Februari 2022 dikatakan bakal berdepan perbicaraan kerana mengintip.
Sementara itu, The Financial Times melaporkan pihak berkuasa di Beijing menyoal siasat kakitangan firma gergasi perundingan AS, Bain & Company cawangan Shanghai.
Serbuan mengejut polis itu telah menyebabkan beberapa syarikat AS yang beroperasi di Beijing kini bimbang jika mereka menerima nasib serupa.
Pada bulan lalu, firma Mintz Group mendakwa seramai lima staf warga tempatan ditahan, selain pejabat di Beijing diarah menutup operasi selepas pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap ‘aktiviti haram’ yang dijalankan di premis tersebut.
Selain itu, pengawal selia keselamatan siber China juga menyiasat syarikat pengeluar cip memori, Micron Technology dan mahu menyemak produk dihasilkan mereka atas kebimbangan keselamatan negara. - Agensi INFO - Pada bulan lalu, Beijing menahan kakitangan firma pengeluar ubat Tokyo, Astellas Pharma kerana disyaki mengintip. Sejak 2015, kira-kira 17 warga Jepun ditahan kerana dipercayai melakukan pengintipan dan aktiviti mencurigakan yang lain.
- Salah satu kes berprofil tinggi melibatkan insiden penahanan selama tiga tahun dua warga Kanada, bekas diplomat, Michael Kovrig dan ahli perniagaan, Michael Spavor. Duo tersebut yang berdepan dakwaan mengintip pada akhir 2018 tidak lama selepas Ottawa memberkas anak pengasas Huawei, Meng Wanzhou di bawah waran AS berkaitan urusan perniagaan firma teknologi itu dengan Iran.
- Di bawah undang-undang negara itu, individu yang disabit bersalah mengintip boleh dikenakan hukuman penjara tiga hingga 10 tahun dan penjara seumur hidup untuk kes lebih serius.
Klik di sini untuk terus membaca