MALAYSIA dianggap negara bebas ancaman gempa bumi. Beratus tahun lamanya belum pernah terjadi gempa bumi di negara ini.
Begitu pun topik gempa bumi menguasai perbualan ramai pihak kebelakangan ini. Wujud teori terbaharu kononnya Malaysia bakal dilanda gempa bumi.
Penulis tidak pernah mempertikaikan kejadian alam. Apa yang jelas, Malaysia terletak dalam wilayah dikenali ‘Cincin Api Pasifik’ atau Pacific Ring of Fire (PRoF). PRoF ialah lingkaran kawasan sekitar Lautan Pasifik yang terdedah kepada gempa bumi dan aktiviti gunung berapi. Sekali pun belum pernah terjadi gempa bumi, Malaysia pernah dilanda tsunami pada Disember 2004.
Gempa bumi yang menyebabkan berlaku pergerakan pada dasar Lautan Hindi berhampiran pantai timur Sumatera telah mengorbankan lebih 230,000 nyawa. Musibah itu melibatkan 14 negara termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand, Sri Lanka, India dan beberapa negara lain.
Itu bermakna wujud potensi Malaysia boleh diancam gempa bumi. Namun, masih ada keliru dengan hipotesis itu. Apakah PRoF sebenarnya? PRoF turut dikenali sebagai ‘Lingkaran Tali Pinggang Pasifik’ atau Circum-Pacific Belt – kawasan berbentuk ladam di sekitar Lautan Pasifik yang menyaksikan banyak gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku.
Kawasan tersebut berbentuk ladam terbentang lebih 40,000 kilometer dari pantai barat Amerika Utara dan Selatan menuju ke Jepun serta Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Wujud piring-piring tektonik (tectonic plates) yang bertemu dan berinteraksi sesama sendiri. Piring tektonik merujuk kepada pergerakan kerak bumi menyebabkan berlaku perubahan tekanan dan geseran kuat sehingga mengakibatkan gempa bumi serta letusan gunung berapi.
Rantau ini memiliki banyak gunung berapi aktif. Kira-kira 90 peratus gempa bumi di seluruh dunia berlaku dalam jaluran PRoF termasuk Gunung Fuji di Jepun, Gunung St Helens di Amerika Syarikat dan Gunung Merapi di Indonesia.
Selain itu, beberapa gempa bumi terbesar dan paling dahsyat di dunia seperti gempa bumi Lautan Hindi 2004 (tsunami) dan gempa bumi Tohoku pada 2011 di Jepun turut berlaku dalam jaluran PRoF.
Ia merangkumi seluruh pantai barat benua Amerika, Kepulauan Aleutian, Filipina, Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea dan New Zealand.
PRoF juga sering dikaitkan dengan fenomena geologi pancutan air panas (geysers), mata air panas (hot springs) dan tempayan lumpur (mud pots).
Ciri-ciri itu disebabkan kehadiran ruang magma aktif dan sistem hidroterma yang melepaskan cecair haba serta mineral ke permukaan bumi.
Fenomena itu disebut dalam al-Quran menerusi surah Az-Zalzalah ayat 99:1-2 dan surah Ar-Ra'd ayat 13:31.
Jaluran PRoF penting kerana ia memberi kesan kepada perubahan iklim global dan alam sekitar. Persoalan yang mesti ketahui sekarang ialah berapa besar jaluran PRoF? Dianggarkan ada 1,500 gunung berapi aktif dan 450 tidak aktif di sepanjang jaluran PRoF.
Maknanya, Malaysia berdepan risiko dilanda gempa bumi sebagaimana sering berlaku di Indonesia, Filipina, Jepun, Australia dan New Zealand, Papua New Guinea serta negara kepulauan seperti Kepulauan Solomon dan Fiji.
Mungkin persoalan yang timbul, apakah faktor PRoF bakal menyaksikan berlaku gempa bumi di Malaysia suatu hari nanti? Kebanyakan pakar akan memberikan jawapan bahawa mustahil untuk meramalkan bilakah berlaku gempa bumi dan berapa besar magnitudnya.
Sesetengah ahli seismologi sangat berhati-hati menangani idea berkaitan gempa bumi dan tragedi alam lain.
Secara harfiahnya, jaluran PRoF mewujudkan ketegangan berterusan. Apabila gempa bumi melanda, ketegangan itu lega seketika. Namun, bahaya akan tetap dibina semula oleh tenaga haba tidak terhapus.
Dalam hal ini, penulis memuji tindakan kerajaan Malaysia yang memandang serius kemungkinan berlaku gempa bumi di negara ini.
Kerajaan telah mula melakukan kesiapsiagaan gempa bumi dan melaksanakan langkah mengurangkan kesan gempa bumi seperti kod bangunan tahan gempa bumi dan pelan tindak balas kecemasan serta menjalankan latihan.
Kajian saintifik untuk mengenal pasti berlakunya gempa bumi mesti sentiasa diteruskan. Sangat penting untuk setiap warga Malaysia bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Kesimpulan hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Kemungkinan berlaku gempa bumi di Malaysia tetap ada. Justeru, rakyat harus sentiasa bersiap sedia!
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)