ISU peruntukan kewangan kepada pembangkang bukan perkara yang baharu dibangkitkan.
Walaupun ia bukanlah kelaziman dalam politik demokrasi dan amalan berkerajaan, namun peruntukan kepada ahli Parlimen menjadi elemen terpenting dalam mencorak budaya politik di Malaysia.
Mengapa begitu? Untuk memahaminya dua perkara ini perlu dilihat secara perbandingan. Pertama amalan sedemikian tidak dilakukan di negara-negara maju kerana sebarang peruntukan pembangunan tempatan tidak disalurkan kepada ahli legislatif (baca: wakil rakyat).
Lazimnya sebagai ahli legislatif bukanlah tugas mereka untuk berbuat demikian kerana mereka adalah pembuat dasar dan undang-undang.
Rakyat selalunya mengadukan hal-hal berkaitan pembangunan tempatan kepada agensi kerajaan, ahli majlis atau anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dipilih dalam pilihan raya kerajaan tempatan.
Kedua, kepercayaan rakyat di sana yang tinggi terhadap agensi berwajib dan PBT di samping respons pantas (disebabkan PBT dipilih secara langsung oleh rakyat) menjadikan wakil rakyat lebih fokus dengan tugas hakiki mereka.
Justeru itu tidak timbul langsung isu mereka mendapat peruntukan atau tidak bagi tujuan pembangunan kawasan.
Ini berbeza dengan Malaysia. Pertama anggota majlis kerajaan tempatan lazimnya dilantik dan tidak dipilih. Hal tersebut menjadikan mereka lambat dan lembap respons permasalahan rakyat.
Sebab itulah kebanyakan rakyat malas mengadukan permasalahan mereka kepada agensi kerajaan ataupun PBT. Akhirnya mereka meminta wakil rakyat menyelesaikannya.
Kerana adanya peranan bertindan (sebagai menteri dan wakil rakyat) serta akses kepada sumber kerajaan, maka aduan rakyat lebih cepat diselesaikan.
Kedua, disebabkan hal tersebut, maka menjadi perkara biasa apabila wakil rakyat menggunakan kuasa dan pengaruh yang ada untuk mendapatkan wang daripada kerajaan bagi membantu rakyat. Malangnya ia lebih mudah buat wakil rakyat kerajaan dan sebaliknya buat wakil rakyat pembangkang.
Lebih parah, sumber kewangan tersebut disalurkan terus kepada pejabat Parlimen berbanding agensi atau kementerian yang bertanggungjawab.
Implikasinya jelas besar. Hal tersebut menjadikan pengundi di kawasan kerajaan lebih terbela berbanding pembangkang. Kawasan pembangkang dianaktirikan lantas menyukarkan wakil rakyat di situ berkhidmat dan pengundinya pula akan terhutang budi kepada wakil kerajaan lantas prejudis terhadap wakil rakyatnya sendiri.
Akhirnya persaingan antara wakil rakyat menjadi tidak seimbang dan peluang untuk dipilih semula bagi penggal mendatang lebih cerah kepada wakil kerajaan berbanding pembangkang kerana kredit dan persepsi positif lebih memihak kerajaan.
Justeru itulah mengapa politik pembangunan menjadi senjata ampuh kepada penguasaan Barisan Nasional (BN) yang sangat dominan dalam landskap politik negara suatu ketika dahulu.
Jadi bila timbul permasalahan ini, ada parti meletakkan peruntukan seimbang dan sama rata kepada pembangkang sebagai sebahagian daripada manifesto mereka.
Malah ia digembar-gemburkan sebagai usaha reformasi institusi yang diperlukan bagi memperbaiki dan memperkukuhkan proses pendemokrasian negara.
Perkembangan semasa menampakkan usaha positif ia akan dilaksanakan. Persoalannya apa dan bagaimana ia harus dilaksanakan.
Secara prinsip dan moralnya peruntukan seimbang dan sama rata kepada semua wakil rakyat adalah suatu kewajaran. Malah ia perlu dipanjangkan kepada setiap negeri.
Permulaan yang baik adalah merangka suatu akta yang memperincikan secara jelas syarat, terma, jumlah peruntukan dan tanggungjawab yang datang selepas menerima peruntukan sebagai panduan lengkap.
Kedua ia juga perlu dirangka agar tidak mengikat mana-mana pihak (kerajaan ataupun pembangkang) dengan sebarang syarat yang berat sebelah yang meletakkan mereka dalam situasi hold them to ransom yang menekan pembangkang atau mensabotaj kerajaan.
Ketiga, peruntukan tersebut tidak disalurkan terus kepada pejabat ahli Parlimen sepertimana biasa. Ia harus diletakkan di bawah pentadbiran Parlimen yang diurus dan dipantau secara menyeluruh agar peruntukan benar-benar dibelanjakan untuk pembangunan kawasan dan bukan sebaliknya.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca