LANDSKAP keselamatan siber kini menjadi lebih mencabar apabila taktik yang digunakan oleh penjenayah sentiasa berubah-ubah seiring dengan perkembangan teknologi. Ahli kehormat seumur hidup Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri... Klik di sini untuk terus membaca

LANDSKAP keselamatan siber kini menjadi lebih mencabar apabila taktik yang digunakan oleh penjenayah sentiasa berubah-ubah seiring dengan perkembangan teknologi.

Ahli kehormat seumur hidup Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau sendiri pernah berdepan dengan panggilan daripada scammer.

"Saya hampir menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam."

Sindiket penipuan itu ada menghubungi saya dengan menyamar sebagai pegawai daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Saya hanya menjawab kepada sindiket berkenaan jangan membazir masa untuk menipu orang ramai," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau mengesan taktik licik sindiket penipuan siber yang menggunakan pelbagai kaedah baharu dan peranti terkini bagi memperdaya mangsa.

"Pada satu ketika dahulu, banyak jenayah seperti ragut, curi kenderaan dan rogol, namun kini, kita berdepan dengan jenayah siber.

"Penjenayah siber yang licik turut memiliki kepakaran menggunakan teknologi untuk memperdayakan mangsa," ujarnya.

Lam Thye berkata, jenis penipuan dalam talian yang popular ialah Macau Scam, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud dan Love Scam.

"Macau Scam paling popular di Malaysia, selalunya sindiket penipuan akan membuat panggilan telefon."

Mereka akan menyamar sebagai pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi kewangan, syarikat perkhidmatan atau lain-lain agensi berkaitan.

"Antara sebab utama mengapa mangsa boleh terpedaya adalah kerana mereka didakwa terlibat dengan jenayah dan diugut akan ditangkap. Selain itu mangsa dihalang daripada memberitahu sesiapa," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar jangan melayan panggilan daripada individu yang tidak dikenali untuk mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Orang ramai juga diingatkan supaya jangan panik dan segera menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terlibat atau putuskan panggilan jika berasa takut.

"Selain itu, jangan dedahkan sebarang maklumat peribadi anda kepada mana-mana individu yang tidak dikenali khususnya nombor kad pengenalan atau nombor akaun bank," jelasnya.

Beliau berkata, ahli MCPF juga memerlukan lebih banyak pendedahan serta pengetahuan dan latihan untuk menangani isu jenayah siber.

"Justeru, langkah-langkah pencegahan seperti program kesedaran dan latihan perlu diadakan secara kerap dan berkala membabitkan semua peringkat di sesebuah organisasi mahupun orang awam.

"MCPF juga perlu merancang pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Macau Scam dan pelbagai penipuan menggunakan taktik terbaharu," ujarnya.

Detik awal terlibat dengan MCPF

Anak jati Ipoh, Perak berusia 76 tahun itu berkata, beliau dilantik sebagai ahli kehormat seumur hidup MCPF yang pertama sejak penubuhan yayasan itu pada 30 tahun lalu.

"Saya menerima sijil pelantikan daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap bekas Pengerusi MCPF pada 13 Disember 2019," katanya.

Lam Thye berkata, beliau menyertai MCPF setelah menerima tawaran daripada bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar pada 1993.

"Yayasan itu dilancarkan secara rasmi oleh penaung pertamanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Lam Thye berkata, beliau memulakan kerjaya politik pada 1969 dan bersara daripada arena politik pada 1990.

"Mohammed Hanif tahu saya boleh menyumbang bakti kepada MCPF kerana pengalaman serta kemampuan saya dalam menangani isu masyarakat,” ujarnya.

Mengulas lanjut Lam Thye berkata, MCPF adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan untuk menjadi sebuah platform di mana masyarakat, NGO, sektor swasta, persatuan penduduk, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan boleh bekerjasama dalam usaha pencegahan jenayah.

"Objektif penubuhan MCPF adalah untuk menyumbang kepada peningkatan langkah-langkah berkesan bagi mencegah jenayah dan pemulihan pesalah melalui program kerjasama menuju matlamat dalam mencapai keamanan dan keharmonian negara," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perlembagaan MCPF, Perdana Menteri adalah penaung, manakala salah seorang ahli Kabinet pula menjadi Pengerusi Yayasan itu yang dilantik oleh Perdana Menteri.

"Tiga naib pengerusi kemudian akan dilantik (oleh pengerusi) dalam kalangan 17 exco MCPF yang dipilih oleh ahli-ahli MCPF dalam mesyuarat agung. Saya telah dilantik sebagai naib pengerusi pada 1995," katanya.

Menurutnya, pemilihan secara demokrasi untuk 17 jawatan ahli exco hanya bermula ketika Mesyuarat Agung Tahunan MCPF pada 2010.

"Saya sentiasa mendapat undian tertinggi dalam pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan MCPF, ia juga satu pengiktirafan dan keyakinan ahli terhadap diri saya," katanya.

Lee Lam Thye ketika menghadiri program pencegahan jenayah anjuran MCPF di sebuah sekolah. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Lee Lam Thye ketika menghadiri program pencegahan jenayah anjuran MCPF di sebuah sekolah. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Lam Thye berkata, beliau dilantik sebagai naib pengerusi kanan MCPF bermula pada 2009.

"Fokus utama saya pada ketika itu adalah untuk meningkatkan kesedaran pencegahan jenayah dan penglibatan yang konsisten dengan agensi penguatkuasaan khususnya PDRM," katanya.

Lam Thye berkata, dalam melaksanakan tugas, beliau juga mengadakan perjumpaan dengan ketua polis negeri untuk mengeratkan lagi hubungan MCPF dengan PDRM.

"Kami mempunyai hubungan kerja yang sangat baik dengan polis kerana kami menganjurkan program pencegahan jenayah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat," katanya.

Menurutnya, pelbagai program ceramah dan sesi dialog diadakan bersama masyarakat, supaya isu jenayah dapat ditangani.

"Mesyuarat town hall juga dianjurkan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan masyarakat mengenai pencegahan jenayah," jelasnya.

Beliau berkata, masyarakat berpeluang mendapat informasi berkaitan pencegahan jenayah yang disampaikan oleh pakar kriminologi dan PDRM melalui program anjuran MCPF.

"Selain itu, MCPF turut menganjurkan persidangan dan seminar mengenai pencegahan jenayah untuk meningkatkan pengetahuan ahlinya," katanya.

Tambah Lam Thye, beliau membuat keputusan untuk tidak mahu bertanding merebut jawatan ahli Exco MCPF pada Mesyuarat Agung Tahunan sebelum ini.

"Saya berbangga kerana dapat berkhidmat untuk MCPF selama hampir 30 tahun dan ingin beri peluang kepada orang lain untuk memimpin yayasan itu.

"Saya mahu menggalakkan semua ahli untuk menyumbang kepada peningkatan objektif MCPF demi kepentingan keselamatan awam,” katanya.

Lam Thye berkata, selama berkhidmat dalam MCPF beliau tidak menerima sebarang ugutan susulan sikap yang berani dan suaranya lantang dalam usaha mencegah jenayah.

"Saya bersyukur kerana setakat ini, tiada sebarang ugutan diterima sepanjang tempoh saya terlibat dalam kempen, program dan ceramah untuk mewujudkan budaya toleransi sifar terhadap jenayah," ceritanya.

Lam Thye berkata, beliau berpeluang melawat kuarters dan berek polis ketika menghadiri program dan aktiviti MCPF.

"Saya terkejut apabila melihat keadaan sebahagian kediaman anggota polis yang perlu dibaik pulih," ujarnya.

Beliau berkata, anggota polis bertugas setiap hari dan menghadapi pelbagai cabaran.

"Selain itu, mereka perlu menjaga kesihatan fizikal dan mental, kita juga perlu memastikan bahawa kediaman mereka dalam keadaan selesa.

"Sebelum ini, saya telah membangkitkan perkara tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya peruntukan belanjawan dapat dilaksanakan untuk kerja penyelenggaraan dan baik pulih kediaman anggota polis," ujarnya.

Apa itu Macau Scam?

Sindiket biasanya menghubungi mangsa melalui talian antarabangsa dari luar atau dalam negara. Sindiket ini akan menggunakan akaun bank milik rakyat tempatan untuk menerima wang daripada mangsa.

Modus operandi sindiket tersebut sangat licik untuk menjerat mangsa, antaranya:

- Ahli sindiket akan memperkenalkan diri sebagai pegawai bank, mahkamah dan pihak berkuasa meminta mangsa menyatakan nama penuh dan nombor kad pengenalan kononnya untuk tujuan pengesahan.

- Suspek kemudian mendakwa ada individu yang menyamar dan menggunakan identiti mangsa.

- Mangsa kemudian akan panik dan suspek segera menasihati mereka supaya membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) atau PDRM dengan memberi nombor telefon yang sudah diubah menggunakan 'platform voice internet protocol' (VOIP) bertujuan memperdaya mangsa.

- Sebaik mangsa menghubungi nombor itu, seorang lagi ahli sindiket yang menyamar sebagai pegawai BNM atau PDRM akan menjawab pangglan itu.

- 'Pegawai' palsu itu pula akan meminta maklumat perbankan dan kad kredit mangsa.

APA yang perlu dilakukan jika anda berdepan sindiket penipuan?

- Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak tertentu.

- Jangan sesekali panik atau mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil, tanpa terlebih dahulu menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit.

- Jangan hubungi semula nombor telefon yang anda terima. sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut.

- Jangan dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit anda kepada orang yang tidak dikenali.

- Layari portal rasmi BNM untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan seumpamanya.

Klik di sini untuk terus membaca