BULAN ini, saya sekali lagi pergi ke Jepun dan ini merupakan kali keenam saya menziarahi negara yang dikatakan paling maju dari segi teknologi di Asia.
Budaya negara tersebut tidak pernah menghampakan. Saya berpendapat banyak aspek yang boleh kita pelajari untuk memajukan negara kita.
Tahap disiplin dan timbang rasa rakyat Jepun yang tinggi secara kolektif di seluruh negara adalah sesuatu yang menakjubkan. Pertama sekali, mereka mematuhi ketepatan masa.
Rakyat Jepun jarang lewat untuk menghadiri sesuatu pertemuan yang telah ditetapkan, mahupun lewat hadir ke tempat kerja.
Mereka akan mengambil kira jarak, masa perjalanan dan kesesakan trafik dalam perancangan pergerakan mereka. Kelewatan adalah satu sikap yang dipandang serius di negara itu.
Contohnya, sekiranya terdapat kelewatan di kemudahan awam, pihak pengurusan syarikat kemudahan awam tersebut akan mengeluarkan notis kelewatan kepada setiap penumpang.
Perihal ketepatan masa ini kita dapat saksikan di stesen kereta api dan kemudahan awam. Setiap kereta api meninggalkan stesen tepat pada masanya kerana laluan rel kereta api yang sibuk dan rumit. Sekiranya terdapat sebuah kereta api terlambat, maka ratusan tren lain akan terjejas.
Kedua, sikap bertimbang rasa. Rakyat Jepun sangat bertimbang rasa terhadap orang lain. Tandas mereka sentiasa bersih. Oleh sebab itu, pengguna tandas lazimnya akan membersihkan tandas yang digunakan untuk kesenangan pengguna yang seterusnya.
Mereka juga sentiasa merendahkan suara di kawasan awam agar tidak mengganggu orang lain.
Pelayan-pelayan di restoran dan kedai sentiasa melayan pelanggan dengan senyuman yang manis dan penuh hormat. Bagi mereka, semangat berpasukan adalah penting, di mana setiap pekerja selalu mengingati kepentingan rakan sekerja yang lain.
Dalam sesebuah keluarga pula, ayah, ibu dan anak-anak ada tugasan rumah yang jelas dan berlainan agar semuanya melengkapi antara satu sama lain demi mencapai tahap kecekapan yang tinggi dalam kehidupan harian.
Selain itu, sumber asli di Jepun adalah terhad. Setiap rumah dari Nagasaki di Selatan ke Hokkaido di Utara, sampah-sampah akan dibahagi secara teratur, untuk dikitar semula, ataupun dibakar bagi menjana bekalan elektrik. Rakyat Jepun akan mencuba sedaya upaya untuk mengurangkan pembaziran sumber asli.
Banyak bandar di Jepun seperti Hiroshima, Kobe, Hakone, Yokohama, Fukuoka, Osaka, Kyoto, Nara, Tokyo dan Sapporo amat mengutamakan pelancong.
Perancangan kemudahan awam bandar-bandar ini bukan sahaja mengambil kira penduduk watan, malah menimbangkan keselesaan pelancong-pelancong asing.
Pelancong dapat bergerak dengan mudah di kawasan bandar-bandar tersebut sebagaimana penduduk tempatan. Kerajaan tempatan juga mengutamakan pemulihan bangunan-bangunan warisan mereka sebagai tapak pelancongan yang dapat menarik minat pelawat asing.
Sistem rangkaian kereta api di Jepun adalah sesuatu yang patut dipelajari oleh Malaysia. Rangkaian tersebut hampir meliputi semua kawasan yang diduduki. Contohnya, mengambil Malaysia sebagai konteks, seorang yang tinggal di Pengerang, Johor ingin pergi ke Baling, Kedah, akan menaiki kereta api tempatan dari Pengerang ke Kluang, dan menaiki kereta api laju seperti "Shinkansen” dari Kluang ke Sungai Petani, dan transit ke Baling melalui kereta api tempatan. Ini menjimatkan masa dan dapat mengurangkan penggunaan kereta.
Yang membawa manfaat, kita hayati bersama. Yang berbeza arus, kita hormati. Terdapat banyak perkara dari Jepun yang boleh memberi ilham kepada kita.
Yang penting sekali adalah perubahan sikap kita supaya menjadi lebih berdisiplin, prihatin, bertimbang rasa dan rajin. Dengan kualiti-kualiti ini, nescaya kita dapat menjadikan Malaysia negara maju dalam masa terdekat.
*Tai Zee How, juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik
Klik di sini untuk terus membaca