KHARTOUM - Pada awal bulan lalu, Wissam Moustafa merancang untuk meraikan ketibaan 1 Syawal bersama keluarganya di Sudan.
Tetapi, dia tidak menyangka cuti perayaan Aidilfitri itu bertukar mimpi ngeri apabila Wissam yang memegang pasport Amerika Syarikat (AS) antara warga asing yang terperangkap dalam konflik bersenjata yang semakin meruncing di negara Afrika Utara tersebut.
"Saya dapat peluang untuk keluar dari Khartoum, namun adik saya tidak bernasib baik seperti kami yang lain," katanya yang dipindahkan dengan menaiki kapal komersial merentasi Laut Merah bersama lebih 1,600 orang awam lain ke bandar Jeddah.
Ketibaan pada Rabu itu mewakili lebih 50 negara yang menggiatkan usaha pemindahan warga mereka selepas pertempuran di Sudan yang bermula pada 15 April lalu menjadi semakin sengit.
Kebanyakan negara asing mengambil peluang ke atas gencatan senjata yang rapuh untuk membawa keluar rakyat masing-masing.
Bagi warga Mesir, Hadia Aladwani yang telah menetap selama kira-kira 16 tahun di Khartoum, konflik terbaharu itu memaksa mereka untuk melarikan diri walaupun pernah berdepan krisis termasuk protes yang menggulingkan bekas Presiden, Omar al-Bashir pada 2019.
"Tiada petunjuk konflik bersenjata itu akan reda. Kami terpaksa tinggalkan segala harta benda," kata isteri kepada pengusaha kilang plastik tersebut.
Sejak akhir minggu lalu, usaha pemindahan orang awam termasuk diplomat dan pegawai asing ke Arab Saudi telah dilakukan secara berperingkat.
Sementara itu, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) memaklumkan lebih 3,500 tiba di Ethiopia.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keganasan berterusan di Khartoum bakal mencetuskan sehingga 270,000 'tsunami' pelarian yang mencari perlindungan di negara lebih miskin seperti di Sudan Selatan dan Chad serta Mesir dan Ethiopia.
"Antara 21 dan 25 April, kami telah menerima ketibaan rakyat lebih 35 negara. Kumpulan terbesar yang dipindahkan adalah warga Turkiye yang mewakili lebih 40 peratus daripada angka itu disusuli rakyat tempatan," ujar Pegawai Komunikasi untuk IOM di Addis Ababa.
Ahli akademik di Cambridge University, Sharath Srinivasan menyuarakan kebimbangan pergerakan secara besar-besaran merentasi sempadan Sudan berisiko menjejaskan kestabilan sembilan negara jirannya yang sememangnya goyah.
"Ia bakal menjadi salah satu krisis kemanusiaan terburuk dan berpotensi merebak ke seluruh rantau itu jika konfrontasi bersenjata antara tentera kerajaan pimpinan Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan Tindakan Pantas (RSF) yang diketuai Mohamed Hamdan Daglo itu tiada penghujung," jelasnya.
Kakitangan agensi antarabangsa memaklumkan skala penuh pergerakan keluar orang awam dari Sudan sukar direkodkan buat masa ini.
Penolong Setiausaha Agung untuk Hal Ehwal Kemanusiaan, Joyce Msuya berkata, PBB menerima laporan puluhan ribu orang telah tiba di Republik Afrika Tengah, Chad, Mesir, Ethiopia dan Sudan Selatan.
Khartoum dilaporkan semakin lengang selepas ramai penduduk mula meninggalkan ibu kota itu.
"Ia telah menjadi bandar hantu dan hanya kedengaran bunyi tembakan dan bedilan. Orang ramai sentiasa mencari peluang untuk melarikan diri walaupun ia mungkin mengancam nyawa mereka," kata wartawan Al Jazeera, Hiba Morgan.
Klik di sini untuk terus membaca