VIENNA - Wiener Zeitung, salah satu akhbar tertua di dunia pada Khamis mengumumkan penamatan edisi cetaknya dan beralih ke platform digital. Akhbar Austria itu hanya mengekalkan sekurang-kurangnya 10 penerbitan cetakan setahun, bergantung... Klik di sini untuk terus membaca

VIENNA - Wiener Zeitung, salah satu akhbar tertua di dunia pada Khamis mengumumkan penamatan edisi cetaknya dan beralih ke platform digital.

Akhbar Austria itu hanya mengekalkan sekurang-kurangnya 10 penerbitan cetakan setahun, bergantung kepada pada dana yang ada.

Keputusan untuk menamatkan edisi cetak akhbar berusia 320 tahun itu diputuskan Parlimen Austria, sekali gus menamatkan pertikaian bertahun-tahun mengenai masa depannya.

Presiden Ketiga Parlimen Austria, Norbert Hoger berkata, keputusan itu diterima pakai dengan majoriti manakala undang-undang baharu bagi memindahkan penerbitan akhbar berkenaan dalam talian adalah pada 1 Julai ini.

Kerajaan Austria mendakwa perkara itu adalah selaras dengan arahan Kesatuan Eropah (EU) untuk memusatkan dan menerbitkan maklumat rasmi dalam talian.

Pegawai Perpustakaan Negara Austria, Rene Rainer menunjukkan salinan asal berita pengumuman pembunuhan Archduke Franz Ferdinand di Sarajevo yang mencetuskan Perang Dunia Pertama.

Diterbitkan sejak 1703

Dalam edisi terakhir, akhbar harian itu menerbitkan editorial khas pada muka hadapannya bertajuk '1703-2023' bagi menggambarkan usia 320 tahun penerbitannya di Vienna.

Akhbar yang mula diterbitkan pada tahun 1703 itu pada mulanya menggunakan nama Wiennerisches Diarium, sebelum dinamakan semula sebagai Wiener Zeitung pada tahun 1780.

Seperti kebanyakan surat khabar pada masa itu, Wiennerisches Diarium bermula dengan melaporkan berita serantau dan antarabangsa.

Di samping itu, itu turut menerbitkan pengumuman kelahiran dan perkahwinan serta obituari golongan bangsawan selain menyediakan liputan mahkamah.

Wiener Zeitung yang bermaksud 'Akhbar orang Vienna' kemudian dijadikan sebagai saluran berita rasmi kerajaan Austria pada 1810.

Ia dianggap sebagai jurucakap rasmi Mahkamah Diraja kerana maklumatnya dibekalkan secara langsung dan eksklusif kepada akhbar berkenaan.

Pada masa itu, akhbar tersebut diterbitkan sebanyak dua minggu sekali dengan lapan muka surat, namun jumlah muka suratnya bertambah semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918) bagi melaporkan perkembangan angkatan tentera Austria di medan pertempuran.

Menurut Persatuan Penerbit Berita Dunia, Wiener Zeitung pada tahun 2004 adalah salah satu akhbar tertua selain Die Presse, Der Standard dan Salzburg Nachrichten yang masih dalam edaran di Austria.

Anggota pembangkang menunjukkan edisi cetak terakhir Wiener Zeitung di Parlimen sebagai tanda solidariti terhadap akhbar tersebut.

Protes

Sejurus Wiener Zeitung mengumumkan penamatan edisi cetaknya, ratusan orang berhimpun di tengah Vienna bagi membantah tindakan berkenaan.

Orang ramai melaungkan slogan 'Selamatkan Wiener Zeitung daripada kepupusan' selain menuduh kerajaan tidak mengambil langkah sewajarnya bagi menyelamatkan akhbar berkenaan.

Naib Presiden Suruhanjaya EU Vera Jourova turut meluahkan kekecewaannya berhubung perkara berkenaan.

"Saya rasa selama ini akhbar Wiener Zeitung memainkan peranan yang baik dalam menyalurkan berita kepada orang ramai," katanya.

Akhbar Wiener Zeitung mengedarkan kira-kira 20,000 naskhah pada hari bekerja dan biasanya jumlah tersebut bertambah pada hujung minggu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca