KAMIKAZE yang bermaksud angin ketuhanan ialah istilah bahasa Jepun yang asalnya diberi kepada sebuah taufan yang menyelamatkan negara itu daripada serangan Empayar Mongol dengan menghancurkan seluruh armada Mongol pada abad ke-13. Istilah... Klik di sini untuk terus membaca

KAMIKAZE yang bermaksud angin ketuhanan ialah istilah bahasa Jepun yang asalnya diberi kepada sebuah taufan yang menyelamatkan negara itu daripada serangan Empayar Mongol dengan menghancurkan seluruh armada Mongol pada abad ke-13.

Istilah ini amat popular dalam sejarah Perang Dunia Kedua apabila pasukan tentera udara berani mati Empayar Jepun melakukan serangan terakhir terhadap kapal-kapal kuasa Bersekutu.

Bagaimanapun ramai masyarakat Barat percaya istilah kamikaze digunakan oleh tentera Jepun untuk juruterbang, tetapi nama yang sebetulnya ialah tokubetsu kogeki tai atau unit serangan khas atau singkatannya tokkotai. Pasukan juruterbang serangan berani mati Tentera Laut pula dipanggil shinpu tokubetsu kogeki tai (Unit Serangan Khas Angin Ketuhanan).

Antara 6 April hingga 25 Mei 1945, dalam Pertempuran Okinawa, sebanyak tujuh gelombang serangan dilancarkan dengan lebih 1,500 buah pesawat kamikaze.

Disebabkan tempoh latihan yang begitu singkat dan barisan pesawat yang kurang bermutu hasilnya, maka juruterbang kamikaze dijadikan sasaran mudah untuk juruterbang Berikat. Namun begitu, pejuang kamikaze yang terlepas berjaya menyebabkan kerosakan besar pada armada Berikat.

Walaupun kuasa Berikat memenangi pertempuran, namun mereka kehilangan banyak sekali kapal dan tentera akibat serangan kamikaze. Pada akhir pertempuran, sekurang-kurangnya 21 buah kapal Amerika Syarikat (AS) dikaramkan oleh pejuang kamikaze.

Pada penghujung Perang Dunia Kedua, Tentera Laut Jepun telah mengorbankan 2,525 orang pejuang kamikaze, manakala Tentera Udaranya keguguran 1,387 orang.

Mengikut perangkaan kerajaan Jepun, misi-misinya berjaya mengaramkan 81 buah kapal dan merosakkan 195 buah lagi. Dikatakan serangan kamikaze inilah yang menjadi punca 80 peratus kematian tentera Berikat.

Sumber-sumber AS pula mendakwa jumlah kapal yang berjaya dikaramkan tidak sebanyak yang didakwa jepun. Mengikut sumber Tentera Udara AS, penyerang kamikaze hanya mengaramkan 34 kapal Tentera Laut, merosakkan 368 kapal lain, membunuh 4,900 orang anak kapal, dan mencederakan 4,800 orang lagi.

Dalam buku World War II keluaran tahun 2004, sejarawan Wilmott, Cross & Messenger menyatakan lebih 70 buah kapal AS dikaramkan atau dibinasakan oleh kamikaze.

Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan pendedahan yang mendakwa seramai 15 ahli Parlimen akan bertindak mengorbankan diri dengan meletakkan jawatan bagi memberi laluan pembentukan kerajaan baharu. Ia bertujuan menumbangkan kerajaan pada hari ini dan digantikan dengan pentadbiran yang lain.

Tindakan ini kalau hendak dibandingkan dengan aksi kamikaze politik yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu itu tidak boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang suci sama seperti yang dilakukan tentera Jepun. Kamikaze politik yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu ini memang akan memberi kesan besar dan membinasakan negara dan rakyat.

Selepas negara melalui episod penuh berliku sepanjang penggal Pilihan Raya Umum ke-14, yang menyaksikan pentadbiran negara bertukar sebanyak tiga kali, ini bukanlah sesuatu yang baik untuk sesebuah negara.

Kini desas-desus untuk menukar kerajaan kembali berkumandang dan menjadi cakap-cakap dalam kalangan rakyat. Ada yang mengatakan ia hanyalah satu serangan psikologi menjelang Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung Julai ini.

Ia bertujuan untuk memberikan persepsi bahawa kerajaan yang ada ini tidak stabil walaupun pada hakikatnya kerajaan yang ada pada hari ini sudah mendapat kerusi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Justeru kita perlu berikan kerajaan ini masa untuk menyelamatkan negara dan keluar daripada kemelut ekonomi.

Jika ada kesalahan yang dilakukan maka gunakan cara yang lebih baik untuk menegur tindak-tanduk kerajaan.

Sementara pihak yang mahu ambil alih negara pula bolehlah membuat persiapan sehingga tempoh penggal pilihan raya ini berakhir lima tahun lagi.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca