SETELAH tujuh tahun berada di perantauan antara 1976 hingga penghujung 1983, saya pulang ke tanah air pada awal tahun 1984. Sepanjang tempoh berada di England itu, enam tahun saya bertugas dengan Bahagian Melayu, Perkhidmatan Luar Negeri... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH tujuh tahun berada di perantauan antara 1976 hingga penghujung 1983, saya pulang ke tanah air pada awal tahun 1984.

Sepanjang tempoh berada di England itu, enam tahun saya bertugas dengan Bahagian Melayu, Perkhidmatan Luar Negeri Perbadanan Penyiaran British (BBC) di London dan setahun menyiapkan ijazah sarjana di University of Leicester.

Tentulah kehadiran Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1984 itu amat bermakna bagi saya kerana selepas tidak meraikannya bersama-sama kaum keluarga dan sanak saudara sejak sekian lama, inilah kesempatan saya berbuat demikian.

Bagaimanapun hasrat tersebut tidak menjadi kenyataan. Hal ini berlaku kerana beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri disambut pada 30 Jun 1984, saya telah diarahkan oleh Ketua Pengarang di mana saya berkhidmat untuk menghadiri satu taklimat di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Setelah saya mendengar taklimat yang diberi oleh seorang pegawai kanan daripada Cawangan Khas PDRM bernama Asisten Superintendan Zainuddin, tahulah saya bahawa rupanya saya telah ‘dipilih’ oleh bos saya untuk membuat liputan eksklusif yang diatur oleh pihak polis bagi menemani Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM), Musa Ahmad merayakan Hari Raya Aidilfitri di kampung beliau di Kampung Pari di Ipoh, Perak pada hari raya pertama dan kedua.

Musa, asal Ipoh dan pernah menuntut di sebuah sekolah agama di Pulau Pinang.

Beliau kemudian aktif dalam pergerakan politik haluan kiri – Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1946 serta seterusnya menyertai PKM untuk melakukan pemberontakan terhadap kerajaan British pada waktu itu sehinggalah beliau menyerah diri kepada kerajaan Malaysia pada awal 1980-an.

Kalau tidak masuk hutan, beliau berkemungkinan besar ditangkap dan dipenjarakan, sama seperti yang dialami oleh sebilangan pemimpin Melayu berhaluan kiri yang lain.

Dalam PKM, beliau diangkat sebagai pengerusi serta mengetuai Rejimen ke-10 PKM yang ditubuhkan khusus untuk orang Melayu yang menyertai parti itu.

Semasa projek membawa Musa berhari raya di kampungnya dirancang oleh pihak PDRM, beliau baharu sahaja kembali ke tanah leluhurnya melalui perundingan rahsia antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Republik Rakyat China.

Pengumuman rasmi penyerahan diri Musa, dengan seorang lagi pemimpin wanita PKM, Shamsiah Fakeh itu belum lagi dibuat kerana kerajaan khuatir ada kalangan akan memberi reaksi yang negatif, terutama anggota keselamatan yang terkesan dalam pertempuran dengan pengganas PKM di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Bukan sedikit anggota keselamatan kita yang terkorban atau tercedera kekal dalam perang melawan pemberontakan komunis.

Bagaimanapun pada waktu yang sama, kerajaan ingin menggunakan penyerahan diri Musa yang telah diberi pengampunan itu sebagai satu propaganda untuk melemahkan ‘perjuangan’ para pengganas komunis yang masih mengganas di dalam hutan dan ada kalanya di bandar-bandar.

Mesej yang ingin disampaikan adalah bahawa tindakan mereka mengangkat senjata selama ini adalah sia-sia.

Dengan kata lain, kerajaan Malaysia mahu menggunakan Musa sebagai umpan untuk pengganas komunis yang lain kembali ke pangkal jalan dan dengan secara terhormat mengikut jejak Musa untuk menyerah diri.

Pengganas komunis yang menyerah diri juga boleh hidup bebas seperti Musa.

Dengan membawa Musa menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampungnya bersama-sama sanak saudara, mesej kebebasan ini dapat disampaikan khususnya kepada pengganas komunis keturunan Melayu/Islam.

Semasa berada di kampungnya, Musa ditemani isterinya bukan sahaja menyambut kedatangan keluarga terdekatnya di rumah warisan keluarga yang telah lama tidak bertemu.

Beliau juga berkesempatan untuk mengunjungi sahabat sepermainan yang tinggal berdekatan dengan rumah keluarganya semasa beliau berada di kampung pada hari pertama Aidilfitri.

Pada hari raya kedua, sebagai memenuhi permintaan Musa untuk mandi di pantai, saya dan pegawai-pegawai polis yang mengiringi beliau pergi ke Pantai Remis yang terletak 52 kilometer dari Ipoh.

Tentunya setiap kali Hari Raya Aidilfitri tiba, kenangan berhari raya bersama Musa Ahmad yang terakam kekal dalam minda saya ini kembali menjadi kenangan.

Saya dapat mengesan bahawa ketika itu, beliau sudah benar-benar insaf dan kesal kerana telah memilih jalan perjuangan yang salah dengan membabitkan dirinya dengan keganasan PKM walaupun sebahagian besar waktunya sebagai pengerusi PKM bukan dihabiskan dalam hutan, tetapi tinggal dalam buangan di Beijing.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca