SHAH ALAM - Warga emas dan bayi antara golongan berisiko tinggi yang boleh terkena strok haba berikutan cuaca panas melanda beberapa kawasan di Malaysia. Menerusi infografik yang dimuat naik di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Warga emas dan bayi antara golongan berisiko tinggi yang boleh terkena strok haba berikutan cuaca panas melanda beberapa kawasan di Malaysia.

Menerusi infografik yang dimuat naik di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu itu, kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, ibu hamil dan menyusukan anak, penghidap penyakit kronik (sakit jantung dan darah tinggi), pekerja yang terdedah dengan cuaca panas serta individu aktif (ahli sukan) antara golongan tidak digalakkan terlalu mendedahkan diri dengan cuaca di luar.

Mengulas lanjut, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, terdedah kepada cuaca panas terlalu lama selain terperangkap dalam kenderaan tanpa penyaman udara antara faktor seseorang individu boleh mengalami penyakit berkenaan.

"Jika seseorang individu itu terkena cahaya matahari dalam tempoh lama mereka mudah mengalami strok haba.

"Bagaimanapun setiap orang mempunyai tempoh durasi berbeza jika terdedah pada strok haba. Ia bergantung pada berat badan dan kuantiti air diminum. Sebagai contoh warga emas serta kanak-kanak lebih cepat hidrasi berbanding golongan dewasa.

"Warga emas dan kanak-kanak susah nak kawal cecair dalam badan dan senang hilang kawalan. Ini bermakna mereka lebih mudah dapat risiko strok haba kerana berat badan lebih kecil dan ringan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kematian dua kanak-kanak iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Balai, Bachok dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan dari Kampung Kota di sini meninggal dunia pada Selasa lepas dipercayai akibat strok haba.

Bagaimanapun, KKM mengesahkan hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat menasihatkan ibu bapa supaya kerap memberi anak-anak minum air kosong sepanjang musim cuaca panas ini.

Menurutnya, penggunaan tuala dan kain basah dapat membantu menurunkan suhu badan anak sekiranya mereka mengadu kepanasan.

"Elakkan daripada bawa anak-anak di tempat yang terdedah dengan cuaca panas,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca