GERAKAN memperjuangkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bermatlamat untuk menyokong penerimaan kedudukan dan hak sama rata golongan LGBT dalam masyarakat semasa. Walaupun tidak menggunakan nama LGBT secara spesifik, gerakan... Klik di sini untuk terus membaca

GERAKAN memperjuangkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bermatlamat untuk menyokong penerimaan kedudukan dan hak sama rata golongan LGBT dalam masyarakat semasa.

Walaupun tidak menggunakan nama LGBT secara spesifik, gerakan menyokong agenda LGBT ini telah lama bermula dengan sejarah yang cukup panjang dan perkembangan dari semasa ke semasa.

Sekitar abad ke-18 dan abad ke-19 di Eropah, hubungan homoseksual adalah dianggap sebagai satu kesalahan jenayah yang serius dan dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermoral di sisi masyarakat.

Di England, terdapat undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual dan perundangan ini berubah mengikut zaman.

Pada awalnya, undang-undang Buggery Act 1533, ketika zaman Raja Henry VIII memperuntukkan kesalahan homoseksual boleh dihukum bunuh.

Perundangan telah diubah dengan Offences Against The Person Act 1861 yang memperuntukkan kesalahan homoseksual kepada penjara seumur hidup.

Seterusnya, hukuman ini lebih ringan melalui Seksyen 11 Criminal Law Amendment Act 1885 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun bagi kesalahan lelaki melakukan kelucahan melampau (gross indecency).

Akhirnya Sexual Offences Act 1967 telah memansuhkan kesalahan jenayah homoseksual antara lelaki yang telah mencapai umur 21 tahun.

Ini jelas menunjukkan bahawa negara Barat pada mulanya tidak menerima perbuatan homoseksual dan perlakuan berkaitan LGBT.

Namun secara perlahan, masyarakat Barat tidak menolak perbuatan homoseksual mula menerimanya sebahagian daripada hak individu.

Pengiktirafan perkahwinan sejenis merupakan salah satu daripada agenda golongan LGBT.

Walaupun hampir semua agama tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, sedikit demi sedikit pelbagai negara mula mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Malah kini terdapat beberapa autoriti agama yang mula mengiktiraf perkahwinan sejenis ini.

Walaupun LGBT merupakan suatu yang abnormal tetapi tetap diperjuangkan oleh sesetengah golongan sehinggalah kini dianggap norma lazim di negara-negara Barat kerana masyarakat sudah terlalu jauh daripada agama dan pemikiran hak asasi individu mengatasi hak asasi masyarakat secara umum.

Belanda adalah negara pertama yang membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2001.

Setakat 2019, perkahwinan sesama jenis juga diiktiraf di hampir 30 negara termasuk Sweden, Argentina, Belgium, Kanada, Iceland, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Portugal, Denmark, Uruguay, Brazil, Perancis, New Zealand, Mexico, Taiwan, Australia dan Israel bersama-sama dengan 25 buah negeri di Amerika Syarikat.

Homoseksual adalah sebahagian daripada perjuangan LGBT. Islam sememangnya melarang keras perbuatan tersebut.

Terdapat nas Al-Quran yang memberi peringatan terhadap azab yang diturunkan kepada umat terdahulu mengenai maksiat berkaitan hubungan sejenis.

Allah berfirman dalam surah Al-A’raf ayat 80-84 yang bermaksud : "Dan Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya,

"Tergamak kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

"Tidak ada jawapan daripada kaumnya selain daripada berkata, "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah golongan yang berpura-pura menyucikan diri.”

"Maka kami selamatkannya dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, dia tergolong daripada orang yang dibinasakan. Dan kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kejahatan. ”

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Klik di sini untuk terus membaca