PARIS - Jumlah kematian akibat kebuluran semakin meningkat di Afrika Timur yang disebabkan kemarau panjang akibat perubahan iklim dan konflik perang berlanjutan. Amaran terbaharu dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan... Klik di sini untuk terus membaca

PARIS - Jumlah kematian akibat kebuluran semakin meningkat di Afrika Timur yang disebabkan kemarau panjang akibat perubahan iklim dan konflik perang berlanjutan.

Amaran terbaharu dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) adalah susulan gesaan sama disuarakan pakar bahawa negara Afrika sedang berdepan krisis makanan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Care dan Oxfam berkata, terdapat kematian akibat kebuluran setiap 36 saat di Ethiopia, Kenya dan Somalia.

Tambahnya, hampir 20 juta orang di wilayah Sahel berdepan ketidakjaminan makanan.

Di Burkina Faso, sebuah negara dilanda peperangan akibat pemberontakan telah menyaksikan kanak-kanak paling ramai maut antara tempoh Januari dan September 2022.

Bilangan mereka dirawat akibat kekurangan zat makanan turut meningkat.

Di Nigeria, kemarau yang berlaku secara berulang dan banjir besar serta konflik berlarutan membawa kepada penurunan 40 peratus pengeluaran bijirin akibat bencana tersebut.

Jurucakap bagi UNICEF, Lucile Grosjean berkata, kira-kira 430,000 kanak-kanak di Niger mengalami kekurangan zat yang serius.

Tambahnya, pada tahun ini wanita hamil dan menyusukan anak yang kurang zat makanan diramal meningkat kepada 154,000 daripada 64,000 pada 2022.

Sekumpulan kanak-kanak mendapatkan air minuman yang dibekalkan NGO di kawasan terjejas akibat kemarau. - Foto AFP
Sekumpulan kanak-kanak mendapatkan air minuman yang dibekalkan NGO di kawasan terjejas akibat kemarau. - Foto AFP

MALAPETAKA DAHSYAT

Menurut PBB, di Semenanjung timur laut Afrika menyaksikan jutaan lembu mati dan tanaman musnah akibat kemarau selepas hujan jarang berlaku di kawasan itu.

Bencana itu turut meletakkan 22 juta orang berdepan ancaman kebuluran terutamanya di Ethiopia, Kenya dan Somalia.

"Kami meramalkan antara April dan Jun depan, lebih satu pertiga penduduk Afrika akan berdepan krisis makanan dan kebuluran paling teruk,” kata jurucakap Care, Mathilde Casper.

Tambahnya, pada tahun lepas, hanya 62 peratus keperluan pembiayaan kemanusiaan dipenuhi atau diterima.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan akhbar Perancis, Le Monde, bekas pengarah Program Makanan Dunia, David Beasley menyeru negara-negara Barat supaya meningkatkan bantuan sambil menyatakan Afrika berdepan krisis makanan dan kemanusiaan paling teruk selepas Perang Dunia Kedua. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca