SERDANG - Penggunaan teknologi kerintangan sistemik teraruh (ISR) bakal diperluas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tidak lama lagi diyakini mampu memberi nafas baharu kepada industri pisang negara yang terkesan dengan penyakit moko atau turut dikenali penyakit layu bakteria.
Timbalan Pengarah Program Pengurusan Perosak dan Penyakit, Pusat Penyelidikan Hortikultur Mardi, Dr Rozieta Laboh berkata, kajian teknologi berkenaan ketika ini telah mencapai di peringkat ladang iaitu di Stesen MARDI, Jelebu, Negeri Sembilan dan dimulakan dengan pisang jenis berangan.
Ujarnya, ISR merupakan ‘vaksin’ atau pendekatan untuk meningkatkan kerintangan pokok terhadap makhluk perosak.
"ISR boleh diaruh dengan guna bakteria bermanfaat tanah yang mana ia akan berinteraksi dengan akar tanaman dan mengaruh kerintangan sistemik di dalam akar yang kemudiannya dipindahkan atas tanaman.
"Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Malaysia sebelum ini diciptakan vaksin untuk mencegah penyakit dan samalah juga dengan ISR ini ia macam vaksin supaya pisang yang ditanam oleh petani-petani ini tidak kena penyakit layu bakteria atau moko.
"Pendekatan ISR ini juga boleh diguna pakai untuk penghasilan pisang secara konvensional dan organik,” katanya kepada Sinar Ahad.
Tambahnya, teknologi yang dibangunkan ini merupakan antara solusi kepada penyakit layu bakteria yang menjadi penghalang utama kepada penghasilan pisang di Malaysia.
"Berdasarkan kes-kes yang kita telah tangani dan mendapat laporan, pisang jenis nipah atau di sesetengah tempat turut dikenali pisang abu paling teruk diserang penyakit ini.
"Jadi kita harap benih pisang ISR ini akan dapat dipasarkan segera kepada pihak industri dan juga petani,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai tahap ancaman penyakit layu bakteria atau moko terhadap pertanian pisang di Malaysia, Rozieta berkata, ketika ini ia masih terkawal.
Bagaimanapun katanya, bekalan pisang mungkin meruncing jika penyakit yang menyerang tanaman ini tidak dikawal.
Klik di sini untuk terus membaca