DESAS-desus komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul semula. Ini bukan baharu.
Sejak 2020, isu komplot, guling dan kejatuhan mana-mana kerajaan sudah tidak mengejutkan dan sesiapa sahaja perlu berhadapan dengan senario seperti itu.
Ini juga percaturan pengurusan persepsi untuk ‘memecahkan jong agar yu kencang’.
Politik adalah seni segala kemungkinan dan politik angka menjadi asas dalam gelanggang pembentukan kerajaan dan barangkali fenomena ‘tidak ada musuh atau lawan tetap tetapi hanya kepentingan’ terus mendominasi.
Ungkapan ‘operator politik’ dan ‘broker politik’ kembali popular.
Walaupun keputusan pada 19 November 2022 membawa kepada kedudukan Parlimen tergantung, namun, pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menunjukkan pembentukan kerajaan dengan majoriti dua pertiga apabila beberapa blok parti gabungan bergerak ke arah iltizam politik tahap tinggi membawa kepada koloborasi politik yang merangkumi Pakatan Harapan (PH) 82 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6, Muda (1), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan Bebas (1). 148 dimiliki oleh ‘Kerajaan Perpaduan’ Malaysia Madani, pembentukan penggabungan kerajaan campuran ‘perpaduan’ Anwar.
Ini berlaku buat kali pertama sejak PRU 2008 yakni pembentukan kerajaan dengan majoriti dua pertiga. Goyangkah kerajaan ini dan wajarkah Anwar tumbang dalam pergelutan kuasa?
Komplot yang dikatakan diketuai oleh personaliti berprofil tinggi (jika benar) memahami ‘budaya politik Malaysia’ dan tahu bagaimana untuk memudahkan proses tersebut.
Amalan pendemokrasian tidak menyekat mana-mana pihak untuk sentiasa melakukan tindakan luar jangka dalam arena politik tanah air tetapi perlukah ia dilakukan kini?
Anwar mewarisi kerajaan yang terus berhadapan dengan isu pandemik Covid-19, kelembapan ekonomi serantau dan global serta cabaran geopolitik dunia.
Lantaran itu, Kerajaan Perpaduan ini cuba untuk memulihkan semangat ‘jiwa Malaysia’; membina Malaysia di beberapa peringkat dan mendekati soal ‘perpaduan’ merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Kompleksiti ini bukan sahaja dalam soal struktur dan institusi seharian warganya tetapi juga keanekaragaman dalam sepak-terajang politik.
Rakyat memerlukan ‘pelindung’ dan usaha ‘memanusiakan politik’. Agenda yang merunsingkan adalah apabila komplot secara berterusan mengganggu ‘keharmonian politik’ boleh menjejas kestabilan yang diperlukan.
Teduh di lapangan politik yang nyaman, segar, penyayang dan bahagia memungkinkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan terpelihara.
Anwar seorang pemimpin yang sudah melihat segalanya dalam dunia sendiwara politik.
Beliau juga tahu permainan dalam blok kepimpinan beliau baik gerakan ‘dalam parti gabungan’ atau ‘pertembungan sesama parti gabungan’ sebagaimana permainan luar blok sendiri yang juga sifatnya bercampur.
Walau siapa sahaja yang terlibat, persoalan risiko ke atas kerjasama dalaman dan luaran parti perlu dirungkai secara rasional.
Apakah seronok menjadi ‘jaguh parti’ yang saling bertikam sedangkan ia memberi umpan kepada musuh walhal ada beberapa platform boleh digunapakai untuk meningkatkan ‘komunikasi’.
Ekosistem politik sudah berubah. Politik minoriti mengawal majoriti sudah tidak relevan lagi sedangkan ia hanya memecahkan lagi dominasi majoriti kepada politik kepuakan dalaman ras sendiri.
Komplot untuk kepentingan sendiri mesti berhati-hati kali ini melainkan terbukti Anwar sudah tidak miliki keabsahan yang sehingga ke hari ini jelas kukuh dengan sendiri.
Waktu yang sama, blok dalam kerajaan perpaduan mesti menguatkan parti masing-masing dari menuding kepada rakan sekutu; dan ini termasuk back-bencher kerajaan. Aib, hina dan reka khabar angin tidak menguntungkan.
Wakil rakyat yang mahu kosongkan kerusi jika pun ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) harus rujuk mandat pengundi mahupun Akta Larangan Lompat Parti.
Malaysia memerlukan pembangkang yang berfungsi seperti Perikatan Nasional (PN) tanpa perlu campur tangan pihak ketiga. Gelombang hijau adalah realiti.
Nilai memanusiakan politik dengan politik bermaruah dan berhemah berlatar moraliti membawa kepada suluhan ke atas politik baharu tanah air.
Kenapa tidak mandat diukur lima tahun lagi pada PRU ke-16 daripada menyusun kini?
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca