NORMA baharu kelangsungan hidup rakyat Malaysia bertoleransi dengan fasa endemik Covid-19 di mana ancaman jangkitan itu sentiasa wujud dalam masyarakat pada kadar stabil, kini kembali menghantui keamanan sektor kesihatan awam melalui kemunculan subvarian XBB.1.16 baru-baru ini.
Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban melaporkan kebangkitan kembali jangkitan subvarian Covid-19 yang turut dikenali sebagai Arcturus itu telah meresahkan rakyat jelata apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan kewujudannya di beberapa negeri misalnya Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Subvarian di bawah famili varian Omicron itu terbentuk hasil gabungan varian BA.2.10.1 dan BA.2.75 dan ia telah dikesan sekurang-kurangnya di 31 buah negara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan sebagai suatu subvarian yang memerlukan perhatian tetapi tidak diletakkan dalam kelas varian di bawah pemantauan.
Bagaimanapun di negara ini, jangkitan Arcturus itu difahamkan kesemuanya bergejala ringan dan berada dalam keadaan stabil.
Malaysia Nanban menyatakan pengesanan subvarian Arcturus itu telah memberi isyarat berwaspada terutama mengenang nasib para pelajar di sekolah rendah mahupun menengah.
Pada 2 Mei depan, sesi persekolahan akan kembali bermula selepas cuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
Justeru Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bercadang untuk bertindak segera dengan mengambil langkah yang sewajarnya agar dapat membendung ancaman subvarian itu berada di zon selamat.
KKM juga akan mengesyorkan pemakaian pelitup muka diimplementasikan semula di kesemua sekolah seluruh negara gara-gara peningkatan kembali jumlah kes jangkitan Covid-19.
Jelas Malaysia Nanban lagi, pihak KKM akan mengeluarkan garis panduan berhubung prosedur operasi standard (SOP) membabitkan murid dan pelajar di sekolah sebelum bermulanya sesi persekolahan pada 2 Mei nanti.
Zaliha berpendirian bahawa ia adalah satu langkah yang penting disebabkan sekiranya ada mana-mana murid mahupun pelajar dihidapi jangkitan subvarian Arcturus itu telah kembali ke sekolah maka ia mudah merebak pantas dalam kalangan pelajar sekolah.
Namun keputusan muktamad berkenaan perkara itu masih berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tambah Zaliha, walaubagaimanapun para ibu bapa usah bimbang dan risau sebaliknya mereka wajib mendidik anak-anak masing-masing mengenai keperluan memakai pelitup muka di sekolah supaya dapat melindungi diri daripada mana-mana jangkitan virus.
KKM sudah pun melaksanakan tindakan memperketatkan langkah-langkah membendung ancaman jangkitan Covid-19 melalui kemunculan subvarian baharu sejak awal Januari lalu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr R.Muruga Raj pula berpendapat buat masa ini adalah lebih baik mengimplementasikan langkah untuk memberi kesedaran tentang kebersihan kendiri dan keutamaan menjaga kesihatan diri di sekolah dalam kalangan para murid dan pelajar.
Muruga Raj menegaskan bahawa keperluan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka tidak perlu pada ketika ini.
Pihak pengurusan sekolah dan para guru perlu peka mengenal pasti murid mahupun pelajar yang mengalami masalah kesihatan dan bertindak pantas dalam memberi rawatan sepatutnya.
Dalam pada itu, Malaysia Nanban berkata, murid dan pelajar hadir ke sekolah dengan memakai pelitup muka bukan sesuatu yang membebankan mereka dan mewajibkan langkah itu juga tidak akan membawa sebarang musibah.
Trend merebak kes jangkitan Covid-19 dan subvarian Arcturus walaupun masih stabil di Malaysia namun langkah-langkah mengawal yang lebih efektif amat diperlukan bagi menghindari rakyat khususnya anak-anak kecil daripada ancaman bahaya Covid-19.
* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor
Klik di sini untuk terus membaca