NAMPAKNYA keghairahan melancarkan projek glamor yang berisiko tinggi terus menjadi kecenderungan walaupun kerajaan dan Perdana Menteri sudah berubah. Yang terbaharu melibatkan cadangan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan butik (boutique... Klik di sini untuk terus membaca

NAMPAKNYA keghairahan melancarkan projek glamor yang berisiko tinggi terus menjadi kecenderungan walaupun kerajaan dan Perdana Menteri sudah berubah.

Yang terbaharu melibatkan cadangan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan butik (boutique airline) yang mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dilaporkan berkata yang beliau bersetuju secara prinsip dengan cadangan kerajaan Sarawak itu.

Katanya, penubuhan syarikat tersebut boleh meredakan kadar tambang, khususnya antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Anwar dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan syarikat penerbangan butik itu.

Tetapi kalau ikut kefahaman dan amalan biasa, syarikat penerbangan butik mengenakan kadar tambang tinggi.

Syarikat penerbangan butik ditakrifkan sebagai operator yang membezakan dirinya daripada pesaing dengan menawarkan perkhidmatan yang unik dan istimewa kepada pelanggan.

Menurut senarai laman web industri pelancongan Skift, antara syarikat penerbangan butik adalah Singapore Airlines, Asiana Airlines, Malaysia Airlines (MAS), Korean Air, Emirates, Finnair, Etihad Airways, TAP Air Portugal, Saudia, Qatar Airways, Virgin Australia, ANA, Lufthansa, Cathay Pacific, Thai Airways, Gulf Air, dan SAS.

Jadi kita sudah pun mempunyai syarikat penerbangan butik atau tambang penuh.

Jadi kalau kerajaan Sarawak faham erti butik dan masih berhasrat menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri, maka syarikat itu hendaklah setaraf dengan MAS atau lebih baik.

Kalau tambang yang dikenakan oleh MAS bagi penerbangan keluar masuk Sarawak dianggap mahal dan tidak berpatutan, bolehkah syarikat penerbangan butik Sarawak menawarkan kadar tambang yang lebih rendah?

Atau Sarawak sudah rasa ia kaya dan banyak duit kerana mendapat habuan yang lebih besar daripada hasil dan gas?

Sepahit mana pun, sekali sekala kita kena buka juga lipatan sejarah. Sarawak ini sudah lama menikmati hasil minyak sejak zaman penjajahan lagi - dan pernah makmur dengan hasil balak.

Tetapi adakah ia berjaya memanfaatkan hasil itu untuk membangunkan infrastruktur dan mempelbagaikan ekonominya?

Boleh jadi ada cara lain yang lebih mudah dan menjimatkan bagi mengurangkan tambang penerbangan keluar masuk Sarawak dan begitu juga Sabah.

Idea syarikat penerbangan sendiri untuk Sarawak dan Sabah ini bukan baru malah sudah pun dicuba tetapi hasilnya tidaklah seperti yang diuar-uarkan.

Elok Perdana Menteri sendiri membuat kajian ringkas dan memahami sejarah serta acuan perniagaan (business model) syarikat-syarikat penerbangan yang ada hari ini.

Saya masih ingat lagi masa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an, MAS tengah berkembang pesat di bawah pemilikan separa swasta.

Saya pernah terbang bersama beliau dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Liberty di Newark ketika MAS memulakan penerbangan ke New York.

Kemudian baca sejarah AirAsia yang diasaskan oleh sahabat baik beliau, Almarhum Tan Sri Yahaya Ahmad, sebelum ia dijual kepada Tan Sri Tony Fernandes dan rakan kongsinya, Datuk Kamaruddin Meranun.

Akhirnya sekali selidik bagaimana syarikat kejuruteraan udara milik kerajaan, National Aerospace & Defence Industries (NADI), digunakan pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menubuhkan Malindo Air melalui pakatan dengan Lion Air, Indonesia.

Cuba kaji apa yang terjadi dengan pelaburan NADI dalam Malindo. Daripada pemilikan 51 peratus pada 2012, sahamnya dikurangkan kepada lima peratus pada 2017. Saya tidak pasti jika NADI masih terlibat dengan Malindo Air yang kini beroperasi sebagai Batik Air Malaysia.

Jadi sebelum kerajaan Sarawak dengan restu Perdana Menteri mengambil jalan pintas mengatasi masalah bermusim tambang keluar masuk negeri itu, eloklah kaji dan faham kerumitan serta risiko tinggi industri penerbangan.

Lagi pun, Perdana Menteri sendiri kata, beliau tidak suka membazir dan membina projek raksasa.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca