SHAH ALAM - Sukar untuk kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini kerana ia tidak boleh dihapuskan secara mutlak, namun boleh mengurangkannya melalui pendekatan holistik.
Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Datuk Dr Madeline Berma berkata, kerajaan pada dasarnya perlu memastikan ekonomi negara bertumbuh pesat, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan lebih banyak setara dengan pendidikan rakyat.
Menurutnya, ukuran kemiskinan di sesebuah negara adalah berdasarkan kemiskinan mutlak dan relatif.
"Ukuran kemiskinan relatif pula diukur berdasarkan perbandingan orang lain, maknanya pasti akan ada yang lebih miskin daripada orang lain. Jadi, kemiskinan tidak boleh dihapuskan tapi boleh dikurangkan.
"Saya amat menghargai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ada keinginan politik untuk membasmi kemiskinan di negara ini. Namun, daripada segi teorinya kemiskinan mutlak tidak boleh dihapuskan.
"Negara maju macam mana sekalipun, pasti tidak ada yang sifar miskin. Apa yang kita kena boleh buat adalah mengurangkan kadar kemiskinan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa kerajaan berhasrat menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini, yang disifatkan sebagai mengaibkan bagi sebuah negara yang mempunyai kekayaan khazanah seperti minyak dan gas.
Jelasnya, negeri-negeri yang masih mencatatkan jumlah kemiskinan tegar tertinggi termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Kata Madeline, usaha untuk membasmi kemiskinan boleh digerakkan dengan memastikan ekonomi negara bertumbuh dengan pesat, sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan.
Selain itu katanya, kerajaan mesti menggalakkan pelaburan asing dan domestik serta mewujudkan peluang ekonomi.
"Apabila ekonomi lembap, peluang pekerjaan kurang. Apabila tiada peluang kerja, ramai yang beralih kepada kerja p-hailing misalnya. Kita tak boleh mengharapkan mereka kerja sebagai penghantar makanan sampai pencen.
"Kita kena bantu mereka ada kerjaya, yakni yang akan membolehkan mereka ada peningkatan kualiti hidup. Sebab itu kita kena perbanyakan pelaburan domestik dan asing masuk. Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi.
"Masalah yang dialami sekarang adalah pendidikan kita dengan peluang ekonomi tidak selari. Kita ada ramai graduan universiti tapi ekonomi negara masih lagi banyak memerlukan pekerja di ladang, peluang kerja setaraf dengan pendidikan sangat terhad.
"Pentingnya untuk kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan kerana ia dapat membantu dalam membasmi kemiskinan dan pada masa sama, menyelesaikan masalah kemiskinan relatif,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca