SHAH ALAM - Keadaan atau realiti kehidupan masyarakat adalah lebih signifikan berbanding melihat kepada tahap dan garis kemiskinan sesebuah negara.
Pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, jika pendapatan rakyat di negara ini rendah namun mendapat kemudahan asas daripada kerajaan dan pihak lain seperti kesihatan, pendidikan, elektrik serta air, ia dapat menjamin kualiti hidup masyarakat.
Menurutnya, kemiskinan adalah senario global dan dasar serta tahapnya ditetapkan berdasarkan kualiti hidup atau standard kehidupan di negara tersebut.
"Pada saya, taraf hidup seseorang itu tidak boleh diukur oleh pendapatan semata-mata, tapi kena lihat kemudahan yang disediakan kerajaan.
"Kalau pendapatan rakyat di negara ini rendah tapi mereka mendapat kemudahan asas misalnya kesihatan, pendidikan, elektrik, air dan sebagainya, ia pasti dapat menjamin kualiti hidup masyarakat.
"Di Malaysia, orang miskin boleh ke hospital berbanding di negara lain, ada yang bergantung pada insurans.
"Pendidikan pula secara umumnya adalah percuma dan di universiti, kebanyakannya sudah disubsidi oleh kerajaan.
"Apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dalam menoktahkan kemiskinan ini sangat menarik dan perlu diberikan sokongan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohammad Shatar berkata lagi, masyarakat bagaimanapun tidak boleh meminta kerajaan meningkatkan gaji semata-mata dengan harapan ia boleh menghindarkan mereka daripada kesulitan.
"Kita juga perlu melihat apa inisiatif yang dilakukan kerajaan supaya tidak terlalu mendesak memandangkan kerajaan juga ada kekangan tertentu.
"Dalam konteks ini, kita kena melihat usaha dan penggemblengan semua pihak. Kita nak capai sesuatu kejayaan tapi nak jangka semua kerajaan buat adalah mustahil,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca