Baru-baru ini, Oliver Wyman Forum, sebuah pasukan pemikir antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat, telah menyenaraikan London sebagai 10 bandar dengan sistem pengangkutan awam terbaik dunia seperti juga Hong Kong, Oslo, Singapura dan Tokyo.
Setiap hari dilaporkan sekurang-kurangnya 2.5 juta (16.7 peratus) penduduk London menggunakan pengangkutan awam. Meski ada jaringan kereta api laju seperti tube, overground dan national rail, bas awam terus kekal popular di London dengan 1.7 penumpang setiap hari.
Bila sebut bas awam, pastilah bas merah dua tingkat bermain di mata. Double Decker Red Bus sememangnya menjadi signature Kota London sejak sekian lama. Malah ia juga lambang kebanggaan penduduk London. Sehinggakan tidak lengkap rasanya kalau tak naik Red Bus dua tingkat bila berada di sini. Kita boleh belajar banyak perkara melalui sejarah Red Bus ini. Sebelum bermulanya revolusi industri, pengangkutan awam di London hanya eksklusif bagi orang kaya dan bangsawan.
Namun di awal abad ke-19, selain mengangkut barang dalam kuantiti yang banyak, orang awam juga mahu ‘diangkut’ beramai-ramai ke satu destinasi dengan lebih cepat. Mereka sanggup bayar untuknya. Melihat ia sebagai peluang, banyak pengusaha yang mula menyediakan perkhidmatan kereta kuda yang bersaiz lebih besar bagi membawa lebih ramai orang.
Namun George Shillibeer berfikir selangkah ke hadapan. Beliau memulakan perkhidmatan coach berkuda yang bersistem dari Paddington ke Kota London mulai tahun 1829. Digelar Omnibus yang bermakna ‘untuk semua’, ia akan berhenti mengambil semua penumpang yang menanti di sepanjang laluannya. Ia juga menyediakan jadual masa perjalanan khusus, pemandu dan konduktor yang akan mengutip bayaran daripada penumpang. Meski perniagaannya hanya bertahan 20 tahun sebelum diambil alih oleh horse bus, idea bernasnya telah merintis sistem pengangkutan awam di London hari ini.
Horse bus begitu popular sehingga semua orang tidak melepaskan peluang menaikinya. Apatah lagi jika bas itu cantik dan ada tempat duduk yang selesa. Dapat pula berada di dek atas yang terbuka, mereka bukan saja dapat menikmati pemandangan, malah dapat turut memperaga pakaian indah yang disarung. Ia menawarkan pengalaman yang begitu istimewa.
Sampai satu ketika, jalan di sekitar London begitu sesak dengan horse bus. Operator bas yang sebelumnya merebut membuat untung melalui laluan yang popular, akhirnya mula bekerjasama membentuk jaringan bas yang lebih sistematik dan meluas. Pada tahun 1899, London General Omnibus Company memperkenal bas bermotor menggunakan enjin stim. Hanya dalam tempoh 12 tahun, ia berjaya mengambil alih keseluruhan perkhidmatan bas awam di London. Tiada lagi horse bus. Ia turut menyeragamkan warna bas awam kepada merah seperti yang ada hari ini.
Kini, London punya lebih 675 laluan dengan 8,700 buah bas. Namun, seperti bandar besar lain, ia tidak terlepas daripada isu lambakan kenderaan persendirian di atas jalan raya. Meski ada laluan khusus, Red Bus masih terjejas dengan kesesakan lalu lintas. Kerana itu, masa yang diambil untuk bergerak dengan bas di London selalunya jauh lebih lama. Mujurlah ada alternatif kereta api laju yang menawarkan purata masa perjalanan lebih pendek.
Walaupun sistem pengangkutan awam London adalah antara yang terbaik di dunia, halnya berbeza di bandar-bandar lain di UK. Kebanyakan penduduk di luar London masih memerlukan kenderaan persendirian untuk bergerak lebih mudah dari tempat ke tempat. Kerajaan UK juga komited untuk menangani isu ini. Baru-baru ini, ia telah mengumumkan £155 juta peruntukan melalui inisiatif Bus Back Better bagi menambahbaik perkhidmatan bas di luar London. Walau ada alternatif yang mungkin lebih baik untuk mereka laburkan seperti projek kereta api laju atau tram, mereka masih percaya bahawa bas awam lebih diperlukan rakyatnya.
Nyata Red Bus bukan sekadar bas bagi UK, bukan juga sekadar simbol kebanggaan. Tetapi sejarahnya mengajar mereka, asas sistem pengangkutan awam yang hebat harus bermula dengan perkhidmatan bas awam yang terbaik juga. Tidak dinafikan, Kuala Lumpur juga punya sistem pengangkutan awam yang amat baik. Namun kita masih boleh belajar daripada pengalaman di UK ini. Jika UK terlalu jauh, tidaklah begitu memenatkan jika sekadar menyeberang Tambak Johor untuk belajar sesuatu dari Singapura.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca