SHAH ALAM - Kebanyakan atlet sukan mengambil suntikan steroid bertujuan untuk membantu dalam pertumbuhan otot dan juga hormon badan.
Atlet bina badan, Mohd Khairul Iswady Daud berkata, proses pemulihan badan juga akan menjadi lebih cepat berbanding mereka yang tidak menggunakan bahan tersebut.
"Dengan pengambilan steroid dalam tempoh tertentu, saiz otot akan membesar dan kekuatan badan bertambah.
"Dalam masa sama, ia juga akan melindungi serat otot daripada rosak. Bagaimanapun secara praktikalnya, perubahan pada badan adalah bergantung kepada individu.
"Tidak ada masa yang spesifik bagi pengguna steroid untuk menampakkan kesan, namun tidak semestinya menggunakan bahan ini tanpa latihan boleh memberi kesan yang besar kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, bagi ahli bina badan, steroid berupaya bertindak sebagai pembantu dalam setiap latihan dan perlawanan yang dihadapi.
Bagaimanapun Mohd Khairul berpandangan, steroid secara amnya tidak bagus digunakan atau diamalkan dalam kalangan ahli sukan.
Ujarnya, steroid bukan hanya digunakan oleh atlet, tidak dinafikan ia juga diambil oleh golongan yang kurang pendedahan tentang risiko penggunaan bahan steroid tanpa kitaran yang betul.
"Semua golongan pun mungkin pengguna sama ada atlet lelaki atau perempuan. Tidak kira orang awam atau sesiapa sahaja yang mengidamkan tubuh yang sasa dalam masa singkat untuk tujuan tertentu,” jelasnya.
Bagaimanapun, pengambilan steroid tanpa pengawasan doktor adalah tidak digalakkan sama sekali.
Jelasnya, ini kerana ia berisiko memberi kesan sampingan antaranya mampu merosakkan buah pinggang, terdedah kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi.
"Selain itu, pertumbuhan jerawat, rambut gugur, perubahan mood secara mendadak, hipertensi dan tulang rapuh,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca